Atasi isu banjir air masin di laluan Jambatan Kuala Linggi
KUALA LINGGI 30 April – Projek naik taraf sedang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka dijangka mampu mengatasi masalah banjir air masin di Jambatan Kuala Lingi yang berlaku ketika fenomena air pasang besar.
Fenomena itu menyebabkan ada dalam kalangan pengguna khusus kenderaan ringan terpaksa menunggu air surut sebelum meneruskan perjalanan berikutan sebahagian laluan terbabit yang digenangi air pasang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah berkata, naik taraf membabitkan kerja menurap semula dan meninggikan paras laluan berkenaan dimulakan Mac lalu kini sudah 90 peratus siap.
“Ketika air pasang besar laluan berkenaan tenggelam. Kerja naik taraf dilaksanakan segera kerana laluan berkenaan menghubungkan Melaka dan Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah kerja-kerja menaik taraf jalan hampir siap namun ia masih berada pada status kajian, bagi memastikan isu yang dihadapi pengguna jalan raya diselesaikan seawajarnya.
“Kerja-kerja penurapan sehingga ke penghujung jambatan Kuala Linggi di bahagian Negeri Sembilan telah dilaksanakan malah projek menaikkan paras jalan lebih kurang satu kaki telah juga siap membabitkan peruntukan hampir RM2 juta,” katanya selepas melaksanakan lawatannya ke Jambatan Kuala Linggi di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, jambatan yang berusia hampir 30 tahun itu dianggap sebagai aset bagi Kuala Linggi khususnya kerana ia adalah antara pintu masuk utama pelancong luar terutama dari Negeri Sembilan.
Berikutan itu beliau sedang merancang untuk melengkapkan Kuala Linggi dengan kemudahan infrastruktur yang lebih selesa dalam usaha menarik lebih ramai pelancong singgah ke Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.
“Bagi menjayakan usaha ini saya akan bekerjasama dengan agensi dan jabatan berkaitan seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.