Asrama sekolah perlu patuhi SOP – KPM

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 17 Jun – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta pihak sekolah agar tidak mengambil mudah pemantauan di asrama pelajar.

Ini bagi memastikan setiap penghuni asrama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, semua pihak termasuk pentadbiran sekolah diingatkan supaya mengutamakan SOP ditetapkan tanpa mengenepikan peraturan ditetapkan.

“Setiap SOP perlu dipatuhi dan itu tujuan saya (adakan lawatan) untuk memastikan ianya mengikut SOP yang ditetapkan.

“Kita memang ada SOP untuk asrama seperti yang telah dibentangkan dan lawatan hari ini bagi memastikan SOP ditetapkan KPM dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas melawat ke Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Dr Mohd Azam Ahmad dan Pengetua sekolah Md Baharudin Mahani.

Sementara itu, Hang Soon berkata, hasil lawatannya ke 10 buah sekolah di seluruh negara setakat ini mendapati kadar pematuhan SOP berada pada tahap 85 hingga 90 peratus.

“Daripada ‘assessment’ saya lebih kepada 85 hingga 90 peratus dari segi keseluruhannya dan kita ada sedikit masa lagi untuk menambah baik pematuhan SOP,” katanya.

Di Melaka, sebanyak 114 sekolah menengah termasuk 37 daripadanya sekolah berasrama yang terlibat bagi sesi persekolahan kelas peperiksaan awam akan dibuka pada 24 Jun ini.

Views:

470
Kongsi :
Previous post Malaysia remains competitive amid Covid-19 pandemic – MIDA
Next post Quartararo, Morbidelli, teruja memulakan semula musim MotoGP 2020
Ubah saiz-+=