Asrama pelajar UUM terbakar, 80 peratus musnah
SINTOK 20 Julai – Tingkat tiga asrama pelajar di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini musnah 80 peratus dalam kebakaran, hari ini, memetik laporan portal Berita Harian sebentar tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.55 pagi tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam dan Jitra tiba di lokasi jam 11.08 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati tingkat tiga asrama pelajar itu sedang terbakar namun tiada pelajar di dalamnya.
“Api berjaya dikawal jam 11.20 pagi dan setakat ini kerja overhoul sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.
Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
“Kita dapati asrama itu kosong ketika kebakaran dan operasi disertai 13 anggota termasuk penyelia dan tiga jentera dari dua BBP,” katanya.
Insiden kebakaran tersebut turut mendapat perhatian Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang memberitahu pihak universiti telah mengambil langkah memindahkan pelajar yang terlibat ke blok penginapan yang lain dan memberikan bantuan kewangan dan keperluan asas pelajar.
“Selain daripada itu, bantuan sokongan Kaunseling kepada pelajar terlibat juga turut disediakan,” tambahnya menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.