
ASNAF DUN AYER KEROH TERIMA BANTUAN PERSEDIAAN RAMADAN
AYER KEROH 18 Februari – Seramai 200 asnaf sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh menerima Bantuan Pesediaan Ramadan, iaitu inisiatif dilaksanakan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam menyantuni dan meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
Menerusi status dimuatnaik di Facebook rasmi MAIM, majlis berlangsung di Japerun Ayer Keroh, semalam dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, sementara itu MAIM diwakili Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat, Rohaizah Abas.
“Bagi tahun ini seramai 8,781 asnaf fakir dan miskin di semua 28 DUN seluruh Melaka layak menerima bantuan ini. Setiap ketua isi rumah fakir menerima RM400, ketua isi rumah miskin pula RM250 selain RM150 setiap asnaf dan RM100 untuk setiap tanggungan (anak-anak).
“Sementara masih ada masa jangan lupa bayar zakat fitrah dan ganti puasa,” kata kenyataan itu.
Secara keseluruhan tahun ini MAIM memperuntukkan sebanyak RM6.92 juta untuk menjayakan inisiatif Bantuan Pesediaan Ramadan yang memberikan manfaat kepada 8,781 penerima dalam kalangan asnaf fakir dan asnaf miskin seluruh Melaka.
Bantuan Persediaan Ramadan pada tahun ini melibatkan RM5.37 juta hasil kutipan Zakat Fitrah dan RM1.55 juta lagi adalah bayaran Fidyah.
Katanya, mengikut pecahan agihan bantuan itu memberikan manfaat kepada seramai 131 penerima asnaf fakir dan 8,650 penerima asnaf miskin di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.