ASKAR WATANIAH PERKUKUH KESELAMATAN MELAKA
AYER KEROH 12 Januari – Seramai 1,196 anggota sukarela Rejimen 514 Askar Wataniah di Kem Bukit Beruang diraikan pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Merangkap Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) di Kem Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, dirinya amat berbangga menjadi sebahagian daripada barisan rejimen terbabit yang mempunyai peranan yang cukup besar dalam memperkukuh keselamatan negeri dan negara.
“Rejimen Askar Wataniah sentiasa dalam mod bersiap siaga, terus kental dengan teras perjuangan dan pendirian tidak berbelah bahagi untuk membela untung nasib bangsanya demi memelihara keamanan dan kedaulatan tanah air tercinta.
“Melangkah tahun baharu 2025 ini, sewajarnya Rejimen 514 Askar Wataniah Negeri Melaka dapat memperkemas dan merangka perancangan aktiviti latihan dengan lebih teratur dan efisien.
“Saya menaruh harapan yang tinggi agar Tahun Baharu 2025 ini menyuntik semangat yang lebih tinggi daripada semua Ahli JAKPAW dengan membina sinergi kesepaduan untuk terus memantapkan lagi peranan dan fungsi Askar Wataniah di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin serta kenaman lain.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut berbangga apabila melihat sebahagian besar kekuatan anggota sukarelawan rejimen tersebut kini dibarisi anak muda dan penuntut di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam Negeri Melaka.
Katanya, antara IPT yang terlibat adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Alor Gajah dan Jasin; Universiti Islam Melaka (UNIMEL); Universiti Multimedia (MMU); Kolej Yayasan Melaka; Politeknik Merlimau dan Politeknik Kota Melaka.
“Pastinya, ini juga merupakan hasrat kerajaan bagi memperkukuh pasukan simpanan tentera khususnya dalam kalangan generasi muda seiring konsep Whole of Government And Whole Of Society (WOGOS) yang diusahakan oleh Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Saya yakin, gabungan pengalaman yang diperoleh semasa mengikuti latihan di rejimen ini serta pengetahuan akademik yang dimiliki, akan menjadi nilai tambah untuk meningkatkan profesionalisme dan keyakinan diri masing-masing,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.