Sorting by

×

Asas pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional

Masa Membaca:4 Minit, 22 Saat

Kenyataan Rasmi Datuk Seri Hamzah Zainuddin

KERAJAAN Perikatan Nasional ditubuhkan hasil persefahaman yang termeterai antara Presiden BERSATU, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS YB Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang selepas perletakan jawatan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7 secara mengejut pada 23 Februari 2020.

Penubuhan kerajaan baharu ini juga disokong sepenuhnya oleh Presiden PBB merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Presiden STAR, YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dan Presiden PBS, YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili.

Semua ketua-ketua parti tersebut telah sebulat suara bersetuju untuk memperakukan Presiden BERSATU sebagai calon Perdana Menteri Malaysia yang baharu dan kesepakatan tersebut telah diperkenan oleh Ke Bawah DYMM Yang di-Pertuan Agong.

Ini akhirnya menyaksikan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 yang sah berdasarkan perlembagaan negara. Seluruh rakyat menjunjung kasih Ke Bawah Seri Paduka Baginda atas kebijaksanaan Baginda menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada ketika itu.

Hakikatnya, Perikatan Nasional lahir ketika negara menghadapi krisis politik dan perkauman yang semakin parah. Keperluan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu tercetus akibat dari ketidak-puasan hati rakyat atas beberapa dasar dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan

Jangkamasa 22 bulan di bawah Pakatan Harapan, menyaksikan kegagalan parti PH menunaikan pelbagai janji manifesto, pertikaian mengenai hak istimewa orang Melayu, pengurusan ekonomi yang lemah dan berbagai isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Ekoran daripada itu, beberapa perbincangan awal telah diadakan dalam kalangan ahli-ahli parlimen mewakili parti-parti politik yang berkongsi aspirasi yang sama untuk merangka strategi menyelamatkan negara dan mengambil-alih kerajaan daripada Pakatan Harapan supaya Perdana Menteri ketika itu meneruskan kepimpinan dengan kerajaan yang baharu.

Bagi memastikan segala perancangan ini dapat direalisasikan, beberapa ahli parlimen terpaksa berkorban dengan membuat beberapa keputusan yang penting. Ini termasuklah penyertaan ahli-ahli parlimen tertentu ke dalam parti baru untuk memastikan usaha ini dapat dijayakan.

Oleh itu, tidak timbul persoalan sama ada mereka adalah pengkhianat ataupun duri dalam daging kepada mana-mana parti yang pernah mereka wakili kerana apa yang lebih penting adalah matlamat untuk menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan baharu tercapai.

Ketika pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional di peringkat pusat, kedudukan kerajaan-kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud keseinambungan antara kepimpinan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Bagi tujuan tersebut, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan ADUN terbesar semata-mata, tetapi ianya juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama di antara semua parti yang terlibat.

Dalam hal ini, pembahagian jawatan-jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar perlu diputuskan secara konsensus bagi memelihara kerjasama politik yang kukuh dan utuh. Ia juga dipengaruhi oleh keperluan dan situasi politik semasa di negeri-negeri berkenaan.

Contohnya di negeri Perak, jawatan Menteri Besar dikekalkan menjadi milik BERSATU memandangkan jawatan tersebut telahpun dijawat oleh wakil BERSATU sebelum pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu di Johor, jawatan Menteri Besar telah dipersetujui untuk diserahkan kepada UMNO walaupun pada asalnya jawatan tersebut milik BERSATU. Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang diketuai wakil daripada UMNO adalah sebanyak 4 buah negeri termasuklah di Melaka, Perlis dan Pahang.

Bagi PAS pula, persetujuan telah dicapai untuk wakil PAS mengetuai kerajaan di 3 buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala PBB yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan negeri Sarawak.

Alhamdulillah, persefahaman politik ini telah terbukti dapat mengukuhkan kedudukan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, PN telah menguasai semula negeri tersebut dan persetujuan telah dicapai untuk wakil BERSATU menjawat jawatan Ketua Menteri bagi negeri Sabah.

Bergerak ke hadapan, persefahaman politik ini harus dikekalkan bagi menghadapi PRU-15 akan datang agar Perikatan Nasional bukan hanya dapat terus memerintah sebagai Kerajaan pusat tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah oleh pembangkang.

Untuk memastikan kelangsungan permuafakatan ini, saya mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional hari ini iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak.

Gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya. Oleh itu, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan.

Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan.

Sebagai sebuah gagasan yang inklusif, semua pemimpin parti yang bergabung di dalamnya harus diberikan ruang dan peluang yang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing.

Dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan ini nanti mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia.

Saya yakin sekiranya semua pemimpin benar-benar ikhlas untuk menentukan masa hadapan negara yang lebih baik, insya-Allah tanah air ini akan menjadi sebuah negara kebanggaan rakyatnya dan disegani dunia. Sebagai panduan kita bersama, marilah kita hayati firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat ke-10;

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat-Nya.”

Views:

5269
Kongsi :
Previous post Pembangunan Lesung Batu perlu mengikut syarat asas
Next post Penamatan bantuan JKM dibuat menepati kriteria
Ubah saiz-+=