
ASAHAN SEJAHTERA, APLIKASI PINTAR PACU TRANSFORMASI DIGITAL ORANG KAMPUNG
ASAHAN 12 April – Pelbagai isu dan masalah membabitkan masyarakat setempat telah berjaya diselesaikan menerusi aplikasi Asahan Sejahtera yang dibangunkan khas buat warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pengenalan aplikasi tersebut merupakan antara usaha yang dilakukan bagi mentransformasikan penduduk DUN Asahan ke arah digitalisasi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, sejak aplikasi tersebut dibangunkan, pihaknya giat menarik perhatian penduduk setempat untuk memuat turun aplikasi pintar itu yang dapat memudahkan urusan mereka.
“Sejak saya dipilih sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya telah memperkenalkan nombor aduan menerusi aplikasi Whatsapp, di mana penduduk DUN Asahan boleh terus membuat aduan pelbagai isu secara terus kepada saya.
“Aplikasi pintar Asahan Sejahtera ini pula merupakan kesinambungannya yang mana lebih banyak ciri disediakan bagi membolehkan aduan itu sampai terus kepada jabatan serta agensi yang terlibat.
“Setiap aduan yang diterima, saya telah meminta pemimpin setempat seperti Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk segera ambil tindakan dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Taman Batang Melaka Jaya, di sini, malam tadi.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam memaklumkan setakat petang 11 April pihaknya telah menerima lebih 2,500 pengguna baharu dan jumlah itu terus meningkat pada majlis berkenaan.
“Kita menjangkakan lebih 5,000 pengunjung telah memuat turut aplikasi pintar bersempena majlis ini yang mana menerusi aplikasi ini juga pelbagai isu masyarakat telah berjaya diselesaikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.