Asahan jadi ‘port healing’

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

ASAHAN 4 Februari – Pengunjung yang ingin merasai suasana lebih tenang bersama keluarga bolehlah berkunjung ke Asahan sebagai ‘port’ baharu untuk aktiviti rekreasi dan riadah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ini kerana Asahan mempunyai beberapa produk pelancongan menarik seperti Asahan Water Theme Park, Laman Resto di Kampung Gubah dan Air Terjun Asahan.

“Asahan Water Theme Park pada waktu hujung minggu menjadi tumpuan ramai kerana kawasannya yang sesuai untuk aktiviti ‘glamping’ selain bermandi-manda.

“Begitu juga dengan beberapa lagi kawasan riadah di Kampung Gubah,  Air Terjun Asahan, Gunung Melaka dan Bukit Batu Lebah yang sudah diberikan nafas baharu dalam sektor pelancongan.

“Jika pengunjung rasa kawasan bandar terlalu sibuk dan padat, mereka boleh datang ke DUN Asahan untuk rasai suasana lebih tenang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Sambutan Pesta Ponggal dan Jualan Rahmah Peringkat DUN Asahan di Dataran Asahan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pihaknya akan terus menambah baik segala kemudahan produk pelancongan di DUN tersebut.

Tambahnya lagi, usaha tersebut adalah bertujuan menyokong hasrat Kerajaan Negeri menarik pelancong ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Asahan terletak bersempadan atau pintu masuk dari Negeri Johor, ramai pelancong atau pengunjung yang akan singgah di sini.

“Jadi segala fasiliti produk pelancongan di kawasan ini akan ditambah baik dengan kerjasama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2617
Kongsi :
Previous post Kaum Cina Tanjung Bidara tidak terpinggir
Next post Boss Mario selamat, sedang dapatkan rawatan di hospital swasta
Ubah saiz-+=