‘Arwah suka senyum, tidak tegas seperti selalu’
PAYA RUMPUT 21 Okt – “Tiada kelakuan pelik ditunjukkan pada hari-hari terakhir arwah, namun anak perempuan beritahu ayahnya sentiasa tersenyum, tidak tegas seperti selalu.”
Itu kata Noraida Che Nor, 39, isteri Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, yang meninggal dunia selepas dilaporkan lemas ketika menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, di sini semalam.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa suaminya selepas anggota bomba itu selesai menghantar anak kedua mereka berusia 16 tahun menerima vaksin sebelum menyambung tugas kira-kira jam 8.30 pagi semalam.
Ujarnya, dia kemudiannya terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kejadian menimpa suaminya, 47 tahun kira-kira jam 6.30 petang oleh kenalannya yang bekerja di Hospital Melaka.
“Saya ingatkan keadaan arwah kritikal yang mampu diselamatkan, namun Allah lebih menyayanginya, apapun saya reda dengan kententuan-Nya.
“Sepanjang menemaninya di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan, dia memang tidak sedarkan diri walaupun saya harap sangat dapat bercakap dengannya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur dapat menemaninya sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Krubong di sini hari ini.
Jenazah selamat dikebumikan pada jam 11.50 pagi.
Noraida yang juga surirumah berkata, dia dan empat anaknya berusia antara sembilan hingga 18 tahun kini hilang tempat bergantung dan belum memikirkan kelangsungan hidup.
“Tak tahulah bagaimana kehidupan kami selepas ini sebab anak-anak masih bersekolah,” katanya.
Mohd Diya meninggalkan Noraida dan empat anak iaitu, Muhammad Daniel Hakime, 18, Nurul Ain Balqis, 16 dan Muhammad Danish Hakim, 12 serta Nurul Anisa Ilya, 9.
Noraida berkata, arwah yang sudah lebih 20 tahun berkhidmat dalam bomba baharu sahaja dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) dan sempat berkongsi berita gembira itu.
Namun katanya, mereka idak sempat meraikan bersama-sama berikutan suaminya sibuk bekerja.
Terdahulu, Allahyarham Mohd Diya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka selepas dilaporkan kritikal ketika menyelamatkan mangsa banjir dalam kejadian pada jam 5.30 petang semalam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.