Sorting by

×

Arwah pergi sebelum sempat raikan ulang tahun kelahiran

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TABOH NANING 7 Sept. – Hajat guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pegoh Dalam, di sini, Allahyarham Mohd Sharidan Abu Bakar, 32, untuk menyambut ulang tahun kelahirannya tidak kesampaian apabila motosikal ditungganginya terbabas sebelum melanggar pagar di Jalan Kampung Ayer Pa’abas-Kampung Lendu, di sini.

Arwah Mohd Sharidan berhasrat pulang ke kampung isterinya di Tiang Dua, dekat Bandar Raya Melaka kelmarin untuk menyambut ulang tahun kelahirannya yang diawalkan dua hari berbanding tarikh kelahirannya Selasa ini.

Ibu arwah, Hamidah Samah, 65, berkata beberapa hari sebelum arwah pulang ke kampung isterinya, arwah memberitahunya, mereka bercadang menyambut ulang tahun kelahiran itu malam semalam berbanding tarikh kelahirannya pada 8 September.

“Arwah dan adik perempuannya tinggal dengan saya untuk menjaga saya kerana mata saya tidak berapa nampak dan sering menjalani rawatan hemodialisis, manakala isterinya dan anak perempuan mereka berusia enam tahun tinggal di Tiang Dua kerana menantu saya kerja di situ.

HAMIDAH (kanan) diziarahi sanak saudara di kediamannya di Kampung Ayer Pa’abas, Alor Gajah. Foto Din Ahmad.

“Ketika arwah keluar dari rumah selepas solat Asar semalam, arwah tidak berkata apa-apa tetapi saya tahu memang arwah ingin pulang ke kampung isterinya seperti yang lazim dilakukannya pada hujung minggu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ayer Pa’abas, semalam.

Bagaimanapun, Hamidah berkata, beliau sekeluarga tetap reda dengan pemergian arwah.

Arwah mengajar di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pegoh Dalam, di sini dan ketika kejadian kira-kira satu kilometer (km) dari kediamannya, arwah dalam perjalanan dari Kampung Ayer Pa’abas ke Lendu sebelum meneruskan perjalanan ke Tiang Dua.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 5.35 petang kelmarin mangsa dipercayai mencuba mengelak lembu melintas di laluan berkenaan sebelum terbabas ke kiri jalan.

“Siasatan mendapati arwah melanggar pagar dawai di kiri jalan dan parah di kepala serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pembantu Perubatan Hospital Alor Gajah.

“Cuaca ketika kejadian baik dan jenazah arwah dibawa ke hospital berkenaan untuk dibedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Pa’abas petang semalam.

-ends-

Views:

479
Kongsi :
Previous post Gangguan air: 948 kawasan pulih sepenuhnya pagi ini – Air Selangor
Next post Produk pelancongan Melaka tidak akan terabai
Ubah saiz-+=