“Arwah cari siput untuk saya berbuka puasa” – Ibu
MERLIMAU 17 April – “Arwah anak tahu saya sangat sukakan lauk siput sedut masak lemak dan sepatutnya ia menjadi menu kami berbuka puasa semalam, namun ternyata Allah lebih menyayanginya,”
Itu luahan sebak suri rumah, Norhaiyati Jamil, 43, yang kehilangan anak sulungnya Faiz Rosni, 26, dipercayai akibat lemas dalam lumpur setelah diserang lelah ketika keluar mencari siput belitung bersama bapa saudaranya petang semalam.
Menurut ibu kepada lima anak itu, dia tidak menyangka niat murni anaknya itu yang mesra disapa Faiz berakhir tragedi demi memenuhi hajat mencari lauk untuknya berbuka puasa pada hari ke empat Ramadan semalam.
“Dua hari lepas, memang saya ada masak siput sedut masak lemak untuk berbuka puasa, namun tidaklah banyak dan perlu dikongsi kami enam beranak.
“Sebab itu pagi tadi (semalam) arwah beritahu mahu ikut bapa saudaranya keluar mencari siput di kawasan paya bakau supaya saya dapat makan sepuas-puasnya siput berkenaan ketika berbuka puasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Datuk Aziz di sini malam tadi.
Menceritakan semula sebelum kejadian, Norhaiyati berkata, arwah yang mengidap lelah sejak kecil keluar dari rumahnya ketika waktu sahur sekitar jam 5 pagi semalam menemani bapa saudaranya mencari siput di
Kampung Ayer Tawar, Umbai tidak jauh dari rumah mereka.
“Waktu nak keluar tu, arwah ada beritahu saya yang ketika itu sedang bersahur tanpa menoleh langsung ke arah saya.
“Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah berasa pelik apabila panggilan telefon tidak berjawab setelah kedua-dua mereka masih tidak pulang ke rumah pada jam 2 petang,” katanya.
Tambahnya, sekitar jam 3.45 petang barulah bapa saudara arwah pulang bersama anggota polis memberitahu Faiz hilang dan tidak dijumpai namun pihak berkuasa sedang membantu mencarinya.
“Kira-kira jam 5 petang, barulah pihak polis menceritakan hal sebenar yang menimpa arwah.
“Waktu itu, saya tergamam dan seperti tidak percaya apabila sekali lagi kehilangan orang tersayang selepas kematian suami, Rosni Ma’in, 49, pada Oktober tahun lalu,” katanya sebak.
Tambahnya, walaupun sedih, dia reda dengan ketentuan Allah dan jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Berangan Enam, Umbai, bersebelahan kubur arwah suaminya jam 10 pagi ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.