‘Arwah beriya-iya minta saya memandikannya’
ALOR GAJAH 24 Ogos – “Arwah beriya-iya meminta saya memandikannya petang semalam tetapi saya tidak dapat menunaikannya kerana keletihan baru balik kerja.
“Semasa saya berehat, arwah memeluk dan mencium pipi saya seolah-olah tidak mahu melepaskan saya dan hanya sekarang baru saya sedar bahawa itulah tandanya arwah mahu pergi buat selama-lamanya,” kata Amer Abdul Malek, 43.
Beliau berkata, anak bongsunya, Allahyarham Afiq Wafiy, 4,
mempamerkan sifat manja yang agak luar biasa pada jam 6.30 petang semalam sebelum meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan bersama-sama abang sulungnya, Allahyarham Zahrul Fitri, 16, malam tadi.
“Masih terngiang-ngiang di telinga saya permintaan arwah supaya saya memandikan arwah tetapi sayangnya saya tidak dapat menunaikannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kebaya, di sini hari ini.
Amer yang bertugas sebagai pemandu lori berkata, selepas solat Isyak malam tadi, arwah Zahrul Fitri yang belajar di Sekolah Menengah Naning, di sini membawa arwah adiknya menunggang motosikal untuk bersiar-siar dalam taman perumahan itu.
Katanya, sudah menjadi kelaziman bagi arwah anak sulungnya membawa arwah adik bongsunya bersiar-siar dalam taman dengan menunggang motosikal selepas solat Isyak.
Amer berkata, arwah Afiq Wafiy sering membonceng motosikal yang ditunggang abang sulungnya untuk bersiar-siar sebelum masuk tidur dan jika tidak bersiar-siar, arwah lazimnya sukar untuk tidur.
“Kedua-dua arwah memang rapat dan arwah Zahrul Fitri sering memandikan adiknya pada sebelah petang sebelum membawanya bersiar-siar selepas solat Isyak.
“Bagaimanapun, saya tidak tahu macam mana kedua-dua arwah boleh pergi ke Kampung Ayer Pa’abas, kira-kira satu kilometer (km) dari taman ini sebelum melanggar tembok ‘Selamat Datang ke Kampung Ayer Pa’abas,” katanya.
Dia berkata, selepas menerima panggilan penduduk kampung yang memaklumkan mengenai kejadian itu, dia dan isteri, Siti Nurhidayah Tompang, 34, bergegas ke lokasi kejadian tetapi sejurus tiba, mereka mendapati kedua-dua anak kesayangan mereka sudah menghembuskan nafas terakhir akibat parah di kepala.
Arwah Zahrul Fitri adalah anak sulung daripada lima anak dan dicadangkan oleh bapanya untuk menyambung pembelajaran dalam bidang vokasional selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Jenazah kedua-dua mangsa menjalani ujian calitan sebelum dibedah siasat di Hospital Alor Gajah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang, iaitu kampung asal Amer, sama ada lewat petang atau malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan mendapati ketika kejadian pada jam 9.15 malam itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke Kampung Ayer Pa’abas.
“Motosikal ditunggangi mangsa terbabas sebelum melanggar tembok di kiri jalan dan kedua-duanya parah di kepala serta meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Faktor kemalangan ialah gagal mengawal kenderaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BERITA BERKAITAN
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.