Artis YouTube tiada album ibarat ‘rompak, lacuri’ industri hiburan – Awie
BANDAR MELAKA 26 April – Vokalis lagenda tanah air, Datuk Awie mempersoalkan kualiti artis ‘kelahiran’ YouTube yang diibaratkannya ‘pengacau’ yang akan merosakkan industri hiburan tanah air sekiranya tidak dikawal.
Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 53, berkata, persatuan yang mengawal industri hiburan seharusnya lebih peka sebelum mengiktiraf kumpulan ‘artis perompak’ itu kerana tidak melalui proses yang betul untuk menjadi artis sebenar.
“Dulu saya penah cakap tentang kualiti nak jadi artis ini apa kualiti yang dia ada? Adakah dengan mengambil lagu orang lain, nyanyi, keluarkan di YouTube lepas itu orang consider (anggap) dia sebagai artis?
“Habis kita ini, yang susah tebas jalan, buat 10 lagu satu album keluar puluh-puluh ribu ringgit, tiba-tiba mereka buat satu single lagu orang tu (penyanyi asal), contohnya lagu saya, saya hidup lagi lepas tu orang angkat dia, kita rasa macam mana?
“Kau (artis YouTube) tak lalui proses yang betul. Jadi saya minta kepada persatuan-persatuan yang kawal industri ini supaya kawal kewujudan mereka ini,” katanya pada sidang media Showcase Datuk Awie Raikan Cinta Ramadan di Hotel LaCrista Melaka malam tadi.
Menurut pelakon yang juga vokalis Kumpulan Wings itu, artis YouTube juga sebenarnya telah merompak hasil seni artis sebenar yang bersusah payah membina karier melalui album lagu.
“Dulu kita perangi cetak rompak tapi sekarang, lepas mereka ini (artis YouTube) keluar, nampak follower bagus, TV pun panggil mereka ini yang telah mencetak rompak hasil daripada kami.
“Jadi saya minta pada persatuan-persatuan hiburan ini supaya kuatkan sedikit undang-undang macam mana cara mereka ini (artis YouTube) untuk duduk dalam industri sekurang-kurannya buatlah satu album 10 lagu.
“Bila dah ada lagu sendiri, barulah kita consider sebagai artis. Janganlah ‘panjat’ lagu orang itu, panjat lagu orang ini, lepas itu kau ubah sikit begitu begini.
“Saya tak nak benda yang macam melacuri industri kerana kita nak artis yang asli, yang betul-betul ada perjuangan, ada imej, ada karakternya sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.