Sorting by

×

Artifak asli kemerdekaan negara kini di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 7 Oktober – Artifak asli termasuk dokumen dan manuskrip yang membuktikan sejarah kemerdekaan negara kini dipamerkan di Muzium Sejarah dan Etnografi di Banda Hilir.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Datuk Akramuddin Ab. Aziz berkata, menerusi Pameran Menuju Kemerdekaan pihaknya berjaya membawa beberapa artifak penting untuk dipamerkan di negeri ini bagi memberi kesedaran masyarakat dalam meningkatkan semangat patriotisme.

Katanya pameran yang dibuka dari 12 September hingga 12 Disember depan memberi memaparkan beberapa artifak asli yang penting dalam sejarah kemerdekaan negara yang asalnya dimilik oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Almarhum Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman setelah ia disimpan rapi di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.

“Melalui pameran ini pengunjung akan didedahkan dengan pelbagai koleksi artifak asli dan manuskrip seperti Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu Tahun 1948 yang ditandatangani pada 21 Januari 1948 oleh Sultan-Sultan Negeri Melayu termasuklah Undang Yang Empat Negeri Sembilan dan Tuanku Besar Tampin.

“Ia juga turut memaparkan Surat daripada Sir George Maxwell mengenai kerakyatan Malayan Union, Minit Mesyuarat Undang-Undang Kewarganegaraan: Kertas Pertimbangan Oleh C.L.C. pada 6 Mei 1950.

“Selain itu, beberapa dokumen lain turut di pamerkan antaranya Cop Mohor yang digunakan DYMM Tuanku Abdul Rahman sepanjang pemerintahan baginda serta pelbagai koleksi menarik yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Bual Bicara dan Pameran Menuju Kemerdekaan di Muzium Sejarah dan Etnografi.

Mengulas lanjut, beliau berkata orang ramai perlu memberi perhatian dan tidak melepaskan peluang yang diberikan kepada negeri ini bagi mendekati masyarakat dengan elemen sejarah yang membina kemerdekaan negara ini pada suatu ketika dahulu.

“PERZIM akan sentiasa peka dengan membawa pelbagai lagi tarikan sejarah untuk dipamerkan di negeri ini dan seperti kita lihat pameran kronologi kemerdekaan ini pastinya akan membawa nilai tambah dan pengetahuan masyarakan lebih mendalam kepada sejarah negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2001
Kongsi :
Previous post Majlis menghadap PM berkaitan mesyuarat pra-Kabinet – Istana Negara
Next post Graduan seni bina landskap kini jadi ikon usahawan kek Melaka
Ubah saiz-+=