ARMY RED WARRIOR ‘GEGAR’ BANDA HILIR MALAM ESOK
AYER KEROH 13 September – Sempena cuti persekolahan, Program Santai@Banda Hilir membawa secara khas Persembahan Night Stunt Tim Akrobatik Motosikal Army Red Warrior Tentera Darat 2.0, malam esok.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, persembahan aksi lagak ngeri itu akan berlangsung di hadapan Bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.
Katanya, persembahan menarik tim ‘wira merah’ Tentera Darat Malaysia (TDM) dibawa khas dari Kuala Lumpur itu dijadualkan pada jam 9 dan 10 malam.
“Kita harap orang ramai khusus ibu bapa bawa anak-anak pada masa cuti sekolah ini untuk menyaksikan persembahan menarik daripada wira merah TDM.
“Persembahan ini juga kita atur bersempena Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Shadan berkata ini adalah kali kedua Army Red Warrior yang terkenal dengan aksi lagak ngeri mereka berkaksi di Melaka.
“Sebelum ini persembahan wira merah ini mendapat tepukan gemuruh pengunjung di Banda Hilir, kepada yang belum pernah melihat keberanian abang askar kita dijemput datang pada malam esok.
“Ada banyak lagi program menarik lain diatur buat pengunjung seperti persembahan buskers, kita juga menjemput orang ramai untuk mengikuti aktiviti zumba yang disediakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.