
Armada TLDM ukur kemampuan pertahanan samudera raya di Laut China Selatan
KOTA KINABALU, 5 Oktober – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengegar Laut China Selatan menerusi eksesais Kerismas yang berlangsung sehingga 23 Okt ini bagi mengukur kemampuan 23 aset kapalnya daripada Armada Timur dan Barat mempertahankan samudera raya negara.
Kemampuan aset kapal itu diuji dalam simulasi medan perang moden menerusi eksesais bermula 3 Okt lepas untuk fasa pelabuhan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di sini, diikuti pembukaan eksesais pada Sabtu ini dan latihan fasa laut di Laut China Selatan bermula Ahad (9 Okt).
Bernama yang diberi akses eksklusif ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sepanggar di sini baru-baru ini bagi meninjau sendiri persiapan eksesais itu, mendapati adrenalin setiap anggota berada di tahap tinggi dengan masing-masing mempersiap âjentera perangâ bagi menghadapi cabaran getir tersebut.
Akses ke kapal KD Selangor yang ditauliahkan pada 2010 itu, digunakan penulis untuk melihat sendiri persiapan eksesais itu antaranya simulasi peperangan moden di âwar roomâ kapal dalam keadaan gelap dan hanya diterangi lampu berwarna merah, situasi yang biasa disaksikan dalam filem perang di layar perak.
Penulis juga teruja apabila buat pertama kalinya melihat sendiri kapal KD Jebat dan KD Lekiu iaitu kapal perang jenis frigat peluru berpandu ditauliah pada tahun 1999 yang berada di pangkalan itu bagi eksesais Kerismas kali ini.

Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Pertama Dr Najhan Md Said berkata Kerismas merupakan eksesais terbesar TLDM berintensiti tinggi bagi mengukur kemampuan sebenar angkatan itu, dan tahun ini Markas Pemerintahan Armada Timur dilantik sebagai penganjur.
âSepanjang tahun kedua-dua armada ini melakukan latihan dan operasi secara sendiri di kawasan masing-masing, justeru setiap hujung tahun sama ada Oktober atau November dilaksanakan eksesais secara bersama.
âGabungan ini menyaksikan kumpulan aset kapal terbesar berada di satu kawasan melaksanakan eksesais skala besar dan intensiti tinggi di Laut China Selatan,â katanya kepada Bernama.
Najhan, yang juga pengarah eksesais Kerismas berkata konsep asas tentera laut âto float, to move and to fightâ merupakan penanda aras penting untuk diukur bagi menilai keupayaan dan kesiapsiagaan aset TLDM dalam mendepani pelbagai ancaman.
Beliau berkata konsep âto floatâ menilai keupayaan aset itu untuk berada serta beroperasi di atas lautan, manakala âto moveâ pula menilai keupayaan aset tersebut bergerak dengan kelajuan dan kebolehgerakan diperlukan.

Katanya cabaran terbesar TLDM pada masa ini kira-kira 75 peratus aset kapalnya berstatus usang berusia lebih 40 tahun, yang menimbulkan kesulitan kepada âto fightâ dalam konsep asas yang digunakan tentera laut seluruh dunia.
âDalam mendepani isu keusangan ini TLDM fokus kepada dua iaitu âto floatâ dan âto moveâ, manakala âto fightâ kita mengalami kesulitan kerana kapal kita tidak banyak keupayaan untuk âto fightâ. Pada eksesais kali ini kita fokus menilai dua konsep ini dahulu.
âKonsep âto fightâ ini kita simpan apabila armada kita dilengkapi dengan aset baharu mungkin pada tahun-tahun akan datang,â katanya.
Najhan berkata walaupun berdepan status keusangan, warga TLDM berusaha keras untuk membolehkan asetnya mampu beroperasi dalam keadaan baik dengan melakukan penyelenggaraan dan baik pulih.
âCabaran kita pada masa ini adalah memastikan isu kerosakan tidak menjejaskan kita dan untuk aset kita bertahan dalam tempoh panjang supaya tiada kerosakan yang boleh menjejaskan operasi di laut, seperti yang kita alami masa ini,â katanya.
Selain aset kapal, sebuah kapal selam serta 2,073 anggota termasuk elemen Pasukan Khas Laut (PASKAL) akan terlibat secara langsung pada eksesais Kerismas siri ke-27 ini.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.