APMM tahan bot nelayan tempatan dikendalikan enam warga Myanmar
GEORGE TOWN, 27 Jan – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan oleh enam kru warga Myanmar yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri, semalam.
Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata kapal APMM yang sedang menjalankan rondaan Op Pertiwi telah menjalankan pemeriksaan terhadap bot nelayan kelas C itu 21 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini pada 12.30 tengah hari.
“Pemeriksaan mendapati bot nelayan yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak itu dikendalikan oleh seorang tekong dan lima kru yang kesemuanya warga Myanmar berumur antara 24 dan 33 tahun.
”Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati mereka tidak mempunyai sebarang surat pengenalan diri yang sah dan pemilik bot telah melakukan kesalahan menggajikan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya APMM Pulau Pinang mendapati masih terdapat pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran dibuat sebelum ini.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.