Sorting by

×

APMM rampas 3 set bubu naga di perairan Klebang

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KLEBANG 29 April. – Masih ada nelayan di negeri ini ‘keras kepala’ apabila menggunakan bubu naga untuk menangkap hasil laut biarpun penggunaannya diharamkan Jabatan Perikanan.

Kegiatan itu terbongkar selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan merampas tiga set bubu naga dipasang di sekitar perairan Klebang, dekat sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, operasi pengesanan bubu naga dilakukan pihaknya selepas menerima aduan orang awam berkaitan penggunaan peralatan diharamkan itu oleh segelintir nelayan di perairan Melaka.

TIGA set bubu naga yang dirampas APMM di perairan Klebang, semalam. Foto ihsan APMM Melaka dan N.Sembilan.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan menggunakan bot peronda APMM pihaknya telah menemukan bubu naga di tiga lokasi berasingan di sekitar kedudukan satu batu nautika barat Muara Sungai Lereh, dekat sini.

“Dalam operasi pengesanan dilakukan sekitar jam 2 petang semalam, APMM telah menemui beberapa botol air mineral yang terapung dan mencurigakan di atas permukaan air.

“Hasil pemeriksaan mendapati botol mineral yang terapung itu digunakan sebagai penanda kepada pemasangan lokasi bubu naga dan kita telah merampas tiga set bubu berkenaan yang bernilai RM300.

“Hasil laut yang ditemukan dalam bubu tidak banyak iaitu kira-kira dua kilogram saja, mungkin kerana ia baru dipasang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Haris berkata, bubu naga lazimnya dipasang kurang dua batu nautika dari daratan dan penggunaanya dilarang Jabatan Perikanan sejak November 2018.

“Pengunaan bubu naga adalah satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana boleh menyebabkan perairan Malaysia mengalami kekurangan hasil laut kerana benih dan anak ikan akan masuk ke dalam bubu itu,” katanya

ANAK ikan dan udang dalam bubu naga yang dirampas. Foto ihsan APMM Melaka dan N.Sembilan.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Perikanan sedang berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengharamkan penjualan bubu naga bagi tujuan penangkapan ikan di perairan awam selepas pengharaman penggunaannya sejak dua tahun lalu terus diingkari.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Ahmad Tarmidzi Ramly dilapor berkata, sehingga kini tiada penyeragaman peraturan apabila penjualan dan pembelian bubu naga tidak tertakluk di bawah kesalahan dan hanya penggunaannya diharamkan.

Katanya, hal itu menyebabkan pihaknya mengekang penggunaan bubu naga kerana penjualan bahan itu masih berleluasa termasuk di portal beli-belah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1326
Kongsi :
Previous post Bazar Ramadan: 1 gerai hanya 2 pelanggan
Next post Ikan selangat segar habis dalam dua jam sahaja
Ubah saiz-+=