APMM lupus pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM27 juta
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM Khairul Anwar Bachok berkata dadah berkenaan hasil rampasan yang dilakukan Zon Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Zon Maritim Kuala Kedah, Zon Maritim Tanjung Sedili dan Zon Maritim Batu Pahat di Johor.
“Pelupusan dadah jenis ganja, heroin, morfin, methamphetamine dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) itu dilaksanakan selepas Maritim Malaysia menerima perintah rasmi mahkmah untuk dilucut hak setelah kes berkenaan selesai dibicarakan.
“Proses pelupusan dadah ini dijalankan menggunakan kaedah pembakaran melalui inkubator. Ia merupakan cara yang selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah berkenaan tanpa mencemari alam sekitar,” katanya pada sidang media majlis pelupusan dadah di Syarikat Kualiti Alam di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi zon Kedah dan Perlis, tangkapan dibuat di sempadan perairan antara Kuala Perlis dan Satun, Thailand dengan dadah berkenaan dicampak ke laut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Katanya dadah tersebut dibawa masuk dari negara jiran dan dipercayai untuk dipasarkan dalam negara termasuk di Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.
Menurutnya di Johor pula, dadah berkenaan adalah dari negara jiran dan Malaysia adalah lokasi transit sebelum ia dipasarkan ke luar negara dengan dalangnya dipercayai turut melibatkan warga tempatan.
Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata APMM akan meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara khususnya di lokasi titik panas yang disyaki menjadi lokasi kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah di laut.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.