APMM gagalkan cubaan seludup 1 tan daun ketum ke Thailand
ALOR SETAR 11 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat satu tan ke negara jiran melalui jalan laut di perairan Kuala Kerpan, Jerlun, Jumaat lalu.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Mohd Zawawi Abdullah berkata rampasan pada jam 1.30 pagi itu dilakukan berdasarkan maklumat risikan berhubung aktiviti penyeludupan daun ketum di kawasan itu.
“Sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan dan mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju keluar dari Kuala Kerpan.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar arah dengan memecut laju menuju ke pesisir pantai berdekatan bagi meloloskan diri dan meninggalkan bot serta muatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau pasukan serbuan telah menemukan 100 bungkusan plastik berwarna hitam mengandungi daun ketum di atas bot berkenaan dengan berat keseluruhan sekitar satu tan yang dianggarkan bernilai RM180,000.
Mohd Zawawi berkata, daun ketum tersebut dipercayai cuba diseludup ke Thailand melalui jalan laut berikutan permintaan tinggi di sana dengan harga pasaran sekitar RM180 sekilogram berbanding RM40 sekilogram di negara ini.
“Semua hasil rampasan berserta bot fiber dan enjin yang dianggar bernilai RM235,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Menurut Mohd Zawawi rampasan membabitkan daum ketum itu adalah yang ketujuh dilakukan pihaknya pada tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM734,600.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.