APMM bantu bawa penumpang kapal alami strok dapatkan rawatan
SEREMBAN, 27 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan melakukan pemindahan perubatan bagi membantu seorang penumpang kapal persiaran yang mengalami strok mendapatkan rawatan di hospital.
Pengarahnya Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata maklumat Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru memaklumkan wanita warga Indonesia, Hon Siu Fung, penumpang kapal Spectrum Of The Seas mengalami strok semasa kapal dalam pelayaran ke Singapura dari Pulau Pinang.
“Bot Petir 91 yang sedang membuat rondaan rutin di kawasan sekitar telah diatur gerak ke lokasi kapal lebih kurang 3.8 batu nautika barat daya Port Dickson. Setiba di lokasi, mangsa berada dalam keadaan lemah dan perlu dibawa ke hospital dengan kadar yang segera.
“Mangsa berusia 66 tahun dipindahkan ke bot Maritim Malaysia dan dibawa ke Jeti Jabatan Laut, Port Dickson pada pukul 10 malam dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Iskandar berkata selain tugas berkaitan penguatkuasaan undang-undang di laut, APMM turut membantu masyarakat atau komuniti maritim membuat penerbangan atau pelayaran ihsan bagi kes kecemasan di laut dan pemindahan perubatan.
Sebarang kecemasan di laut, sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 yang beroperasi 24 jam.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.