APM tambah ilmu selam skuba

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PULAU UNDAN 5 Februari – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus komited dalam mempertingkatkan ilmu kemahiran dan kesiapsiagaan menghadapi bencana menerusi penganjuran kursus asas selam skuba.

Kursus yang diadakan di Pulau Undan, 1 Februari lalu, disertai seramai 30 peserta terdiri daripada pegawai dan anggota APM Melaka, termasuk empat pegawai kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengarah APM Melaka Lt Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, lebih istimewa, program anjuran Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi (BPBO) itu turut disertai Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed.

Katanya, kursus bermula jam 9 pagi dan berakhir 2 petang itu diadakan bertujuan meningkatkan kemahiran, selain memberi pendedahan awal berkaitan selam skuba kepada peserta terlibat.

“Selain itu, objektif program ini diadakan juga adalah bagi mengeratkan silaturahim antara pegawai dan anggota APM.

“Apa yang jelas, peserta kelihatan amat gembira dapat melakukan selam skuba di Pulau Undan kerana airnya cukup jenih dan dipenuhi batu karang serta hidupan akuatik yang cantik,” katanya.

Kamarulsyah yang turut menyertai aktiviti selam skuba itu berkata, pihaknya turut mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak ingin bekerjasama dengan APM Melaka untuk mengadakan kursus selam skuba.

“Kita berharap latihan sebegini dapat membuka mata dan menarik minat orang awam serta agensi lain untuk menyertai latihan atau kursus selam skuba anjuran APM,” katanya.

FB_IMG_1675547127339
ANTARA peserta kursus asas selam skuba di Pulau Undan. Foto: Angkatan Pertahanan Awam

Seorang peserta yang juga Pegawai Bahagian Pengurusan Operasi, Latihan & Angkatan APM Melaka, Kapten (PA) Aljibin Suddin berkata, pemilihan Pulau Undan amat bertepatan kerana ia menjadi antara tarikan pelancongan terbaharu di Melaka.

“Di samping menikmati keindahan persekitaran Pulau Undan, latihan ini juga dapat menguji aset, logistik serta kemahiran pegawai dan anggota APM dan sebagai satu kesiapsiagaan kami dalam menghadapi bencana,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1984
Kongsi :
Previous post LPP dan FAMA diarah lakukan intervensi segera atasi kekurangan sayur
Next post ‘Frontliners’ Hospital Melaka sumbang 206 beg darah
Ubah saiz-+=