APM siap siaga hadapi kemungkinan banjir luar jangka
Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed berkata agensi itu mempunyai 4,000 anggota yang boleh digerakkan dalam tempoh 24 jam selain 30,000 anggota di seluruh negara yang turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Secara umumnya sebelum ini kita dah kenal pasti ‘hotspot’ yang kita jangka akan berlaku banjir ketika Monsun Timur Laut tetapi sangat sukar untuk kita ramalkan secara tepat kali ini, cuma kita perlu lebih berjaga-jaga di semua negeri apabila Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan berkali-kali mengenainya.
“Sepertimana tahun lepas, kita letakkan aset kita di kawasan Pantai Timur… rupanya berlaku banjir di Pantai Barat seperti di Selangor, biasanya kalau ikut dulu-dulu punya trend ia akan berlaku di sebelah Pantai Timur dan akan berakhir dekat Borneo, Sabah dan Sarawak, biasanya begitu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
MetMalaysia hari ini mengeluarkan kenyataan memaklumkan hampir semua negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak bakal berdepan dengan cuaca tidak menentu apabila taburan hujan yang lebih kerap diramalkan bakal berlanjutan hingga Februari depan.
Sementara itu, Aminurrahim berkata APM telah menerima peruntukan berjumlah RM84.45 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 yang digunakan bagi mendapatkan aset tertentu untuk memastikan penugasan agensi itu berjalan lancar.
Beliau berkata ia termasuk perolehan kenderaan, kelengkapan dan pelbagai peralatan termasuk peralatan menyelamat, paramedik, melawan kebakaran dan komunikasi.
“Selain itu, perolehan aset turut membabitkan 100 ambulans pacuan empat roda, 46 kenderaan operasi, kenderaan pacuan empat roda dan dua kren pengangkat,” katanya.
Terdahulu Aminurrahim menghadiri Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NOU) bagi pembangunan Civil Defence Auxiliary Action System (CDAS) antara APM dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
CDAS merupakan sistem pengkalan data yang dibangunkan hasil kerjasama APM dengan LZNK untuk pengurusan bantuan bencana agar pelaksanaannya lebih berkesan dan sistematik. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.