APM pertaruh nyawa selamatkan si bulus
LENDU 7 Feb. – Tiga kucing yang terperangkap pada sengkuap di Apartment Taman Dimensi, di sini, berjaya diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam dari Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah, pagi semalam.
Difahamkan semua kucing itu disedari hilang sejak beberapa hari lalu oleh pemiliknya.
Terdahulu sepasukan lima anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan daripada pemilik kucing terbabit pada jam 11.04 pagi.
Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, operasi menyelamat diketuai Leftenan Muda (PA) Mohd Hairil Mat Nasir dan tiba di lokasi sekitar jam 11.15 pagi.
“Anggota APM mengambil masa kira-kira 45 untuk menyelamatkan ketiga-tiga kucing yang terperangkap itu dengan anggaran berat 500 gram setiap seekor dan diserahkan dalam keadaan selamat kepada pemiliknya,” katanya.
Sementara itu, Prebet (PA) Ahmad Arshad Rozman, 22, yang terbabit dalam operasi itu berkata, dia berdepan dua cabaran iaitu pada awalnya menyelamat dua ekor kucing di atas sengkuap di tingkat pertama pangsapuri itu.
“Kemudian kami menemukan seekor kucing lagi terperangkap di atas sengkuap di tingkat tiga di rumah pemiliknya.
“Kami terpaksa menggunakan tali yang diikat pada badan dan saya sendiri meniti bumbung tangga terletak bersebelahan sengkuap itu dan menangkap kucing itu menggunakan tanjul.
“Biarpun dalam keadaan getir, kesabaran dan fokus perlu diutamakan kerana kucing adalah haiwan yang tidak boleh diduga sifatnya. Namun kami tetap bersyukur berjaya menyelamatkan haiwan itu tidak sampai sejam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dia yang belum setahun menyertai APM berkata, ia bukan perkara mudah tanpa latihan yang mencukupi bagi bersedia menyelamatkan dalam apa situasi yang berlaku tanpa diduga.