APM Melaka terima tambahan sukarelawan, siap sedia hadapi Monsun Timur Laut
AYER KEROH 25 Oktober – Seramai 80 sukarelawan menjadi antara anggota baharu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula November ini.
Pengarahnya, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, sukarelawan itu membabitkan seramai 54 lelaki dan 26 wanita berusia dalam lingkungan 18 hingga 44 tahun.
Menurutnya, kesemua sukarelawan terbabit selesai menjalani Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 3/2023 selama tiga hari bermula Jumaat lalu bertempat di Pejabat Negeri Angkatan Pertahanan Awam Melaka (PNPA), Ayer Keroh.
“Menerusi kursus selama tiga hari, peserta telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran seperti teknik pertolongan cemas; teori resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan choking (tercekik); asas ikatan dan simpulan serta asas memadam kebakaran dengan setiap sesi selama dua jam.
“Objektif kursus ini adalah menyemai semangat kesukarelawanan, sedia memberi bantuan dan pertolongan serta menghargai nyawa dan harta benda milik bersama,” katanya kepada pemberita.
Kamarulsyah berkata, untuk layak menjadi anggota sukarelawan Pertahanan Awam, setiap peserta wajib mengikuti tiga modul kursus iaitu Pengenalan APM dan Pertahanan Menyeluruh; Asas Menyelamat Kecemasan dan Asas Kawad Kaki.
Tambahnya lagi, daripada 80 sukarelawan baharu yang dilantik, 32 daripadanya akan ditempatkan di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Melaka Tengah, diikuti 19 ditempatkan di Alor Gajah, 24 di Jasin, selain Unit Selandar (2) dan Masjid Tanah (3).
“Mereka akan menjalani latihan sambil bertugas bagi meningkatkan lagi kemahiran asas sebelum diserap sebagai anggota sukarelawan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.