Sorting by

×

APM Melaka terima aset baharu hadapi banjir

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 2 Nov. – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka menerima lapan bot ‘fiberglass’ daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi kesiapsiagaan agensi itu menghadapi musim Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac.

Pengarah APM Negeri Melaka Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, dua bot itu masing-masing akan diserahkan ke Daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin, manakala satu bot diserahkan kepada Unit Masjid Tanah dan Unit Selandar.

Katanya, lapan buah itu menjadikan jumlah keseluruhan bot bagi membantu mangsa bencana berjumlah 18 unit.

“Semua bot ini dilengkapi dengan enjin, jaket keselamatan, pedal serta tali dan ia merupakan bot kecil yang sesuai untuk kegunaan pada paras air yang tidak tinggi dan tidak deras.

PENGARAH APM Negeri Melaka Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali

“Jadi, ia boleh membantu mangsa dalam menghadapi bencana banjir terutama banjir kilat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Penyerahan Bot Fiberglass di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Effendy berkata, seramai 300 anggota bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana banjir pada musim monsun Timur Laut itu.

Jelasnya, pihaknya turut mengaktifkan kesiapsiagaan aset APM iaitu lima lori dan lapan pacuan empat roda dalam menghadapi bencana itu.

“Semua anggota ini berada dalam keadaan aktif yang boleh dipanggil pada bila-bila masa dan bersiap sedia dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan terima kasih kepada agensi penguatkuasaan dan keselamatan kerana membantu APM sebagai Sekretariat Pengurusan Bencana negeri.

“Dalam pada kita memberi bantuan, agensi terlibat seperti pihak polis, tentera dan bomba serta Pengerusi Sekretariat Pengurusan Banjir Negeri iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan Sekretariat Pengurusan Banjir Daerah yang diketuai Pegawai Daerah sentiasa memberi kerjasama yang baik,” katanya.

Views:

615
Kongsi :
Previous post COVID-19: Kes sporadik di Tanjung Minyak
Next post Mahasiswa digalak ceburi bidang keusahawanan
Ubah saiz-+=