APM Melaka kongsi ilmu kepada orang awam

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 17 Julai – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka melatih seramai 42 peserta mempelajari teknik asas pertahanan awam bagi membantu orang awam yang ditimpa bencana.

Ketua Bahagian Operasi, Latihan dan Angkatan APM Melaka, Kapten (PA) Aljibin Suddin berkata, kursus berkenaan bermula dari 15 Julai hingga hari ini.

“Bila peserta datang sini, kita mahu mereka kosongkan minda untuk menimba ilmu, mereka diajar asas kawad kaki, mengawal kebakaran, bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan menyertai ‘explorace’ .

“Ini merupakan acuan atau bentuk pasukan semangat berpasukan dalam pertahanan awam.

“Selepas ini apabila peserta sudah menerima kad pelantikan dan sijil, mereka boleh bertugas sebagai anggota APM mengikut kesesuaian dan kesukarelaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kursus Asas Pertahanan Awam Siri 2/2022 di Pejabat APM Melaka di sini, hari ini.

Ujarnya, APM sentiasa menerapkan sifat kesukarelawanan untuk membantu orang awam tidak mengira masa.

“Dalam pertahanan awam kita menerapkan kesukarelaan, anggota kita ada terdiri daripada anggota swasta, kerajaan dan sebagainya.

“Biarpun mempunyai tugas hakiki tapi atas semangat dan cintakan pertahanan awam anggota APM sanggup datang kursus ini untuk mengajar peserta.

“Ilmu diterima gunakan untuk diri sendiri sebagai nilai tambah dalam kehidupan kita, saya percaya semua akan menjadi ejen kepada pertahanan awam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1651
Kongsi :
Previous post Sulaiman dengar keluhan peniaga, pengunjung Pasar Kuala Sungai Baru
Next post Jadikan Pantai Puteri destinasi pelancongan sukan air
Ubah saiz-+=