Sorting by

×

APM latih rakyat dalami ilmu kemahiran pertahanan awam

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 26 Mac- Sempena Sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke-69, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Melaka diberi penghormatan menyampaikan khutbah solat Jumaat, buat julung kalinya hari ini.

Timbalan Pengarah APM Negeri Melaka, Mejar (PA) Kamarulsyah Muslim menyampaikan khutbah itu di Masjid Al-Alami MITC di sini, dengan meminta sidang Jumaat menghayati fungsi dan peranan APM dalam melatih dan melengkapkan rakyat dengan ilmu kemahiran pertahanan awam termasuk bagi menghadapi pandemik COVID-19.

Katanya, ilmu penting bagi menghadapi ujian Allah yang didatangkan dalam pelbagai bentuk iaitu kecemasan, krisis, bencana, keganasan, serangan budaya, pencerobohan dan ancaman peperangan yang memberi kesan secara trauma psikologi atau fizikal tubuh badan, malah hingga menjejaskan sosio ekonomi, persekitaran dan keselamatan rakyat serta negara.

Timbalan Pengarah APM Negeri Melaka, Mejar (PA) Kamarulsyah Muslim menyampaikan khutbah itu di Masjid Al-Alami MITC.

“Bagi yang mengalami ujian ini tanpa apa-apa ilmu dan kesedaran, pastinya akan menyalahkan kerajaan atau pihak bertanggungjawab yang lain.

“Manakala yang mempunyai kesedaran dan ilmu, pastinya akan menggunakan segala usaha untuk bersama-sama dengan semua pihak bertanggungjawab bagi mempertahankan keselamatan dan kesejahteraan yang ada,” katanya.

Kamarulsyah berkata, ramai belum menyedari APM menyediakan seluas-luasnya ilmu dan kemahiran untuk setiap lapisan rakyat serta boleh menjadi bekal dalam situasi sulit dan tidak diduga.

“Ilmu kemahiran pertahanan awam ini bagi rakyat memiliki kesiapsiagaan diri untuk menghadapi situasi kecemasan, krisis mahupun bencana.

“Rakyat yang menganggotai APM secara sukarela atau mendapatkan ilmu pertahanan awam akan didedahkan dengan ilmu menyelamat, perawatan kecemasan, kaedah memberi perlindungan dan menangani sebarang ancaman kepada keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar.

“Ilmu dan kemahiran inilah yang perlu diterap dan dibudayakan dalam diri setiap rakyat supaya boleh bertindakbalas mengurangkan atau mencegah kehilangan nyawa dalam sebarang situasi bahaya,” katanya.

Katanya, kemahiran pertahanan awam untuk diri sendiri juga mampu mengurangkan kebergantungan rakyat kepada perkhidmatan kecemasan agensi kerajaan dengan mereka ditanamkan sikap saling membantu meringankan bebanan dihadapi orang sekeliling.

“Ini selaras dengan Firman Allah dalam surah Al-Ma’idah ayat 2: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya),” katanya.

Sementara itu Kamarulsyah berkata, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Mesyuarat Sidang Majlis Keselamatan Negara 29 Januari lalu, bersetuju bahawa APM, RELA dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dikenali Agen Basmi COVID-19 (ABC-19) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia serta Polis Diraja Malaysia melaksanakan tindakan pemerkasaan komuniti.

Katanya, ia meliputi aktiviti pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19; memberi nasihat, peringatan, teguran dan panduan kepada ahli komuniti tempatan dalam langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 dalam komuniti dan menghebahkan pendidikan kesihatan mengenai langkah pencegahan COVID-19.

“Ini satu daripada inisiatif kerajaan untuk bersama-sama masyarakat supaya rantaian jangkitan pandemik ini dapat diputuskan seberapa segera agar krisis kesihatan dan ekonomi tidak berlarutan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

625
Kongsi :
Previous post Katil berdiri rawatan fisioterapi raih anugerah perdana inovasi KKM 2020
Next post MAQIS rampas daging kambing import dari Australia tiada logo halal
Ubah saiz-+=