Aplikasi PerjalananKu tawar RM1,000

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SERI NEGERI 2 Mac – Penduduk Melaka berpeluang memenangi cabutan bertuah berjumlah RM1,000 hanya dengan menyertai tinjauan melalui aplikasi PerjalananKu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Utama Idris Haron berkata, aplikasi tersebut membuka 3,000 penyertaan pertama buat penduduk yang menetap di Melaka bagi menyertai kajian soal selidik tinjauan atas talian untuk berkongsi maklumat perjalanan dalam negeri ini.

Jelasnya, Melaka dijadikan sebagai negeri peneraju selepas Iskandar Malaysia (Johor) bagi menjalani Program Global Future Series dengan kerjasama UK Foreign, Commonwealth & Development Office, dalam menyokong dasar pembangunan bandar yang mampan untuk mencapai kesejahteraan inklusif, sekali gus mengurangkan kemiskinan bandar yang tinggi.

“Inisiatif ini adalah bagi menyokong hasrat kerajaan negeri untuk mengembangkan sistem transportasi berdasarkan data dan bukti bagi mengkaji ‘trend’ Perjalanan Isi Rumah rakyat di negeri ini.

“Perkara ini mampu menyumbang kepada perancangan pengangkutan masa depan Melaka untuk membantu kerajaan memahami keperluan perjalanan rakyat di negeri ini dan membolehkan kita merancang meningkatkan sistem mobiliti yang diperlukan untuk masa depan,” katanya.

IDRIS (tengah) bergambar bersama barisan tetamu kehormat yang hadir selepas melancarkan Aplikasi PerjalananKu di Bilik Tun Mutahir, Seri Negeri, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi PerjalananKu yang diadakan di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Datuk Roslan Ahmad serta tetamu lain.

Beliau turut meminta orang ramai supaya memuat turun aplikasi tersebut, serta daftar butiran mulai hari ini sehingga 20 Mac depan.

Tambahnya, ujian kaji selidik tinjauan perjalanan itu akan diadakan selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Mac depan dengan individu yang terlibat dalam kaji selidik tersebut perlu menyelesaikan kesemua aktiviti yang disediakan dalam aplikasi itu.

“Dalam tempoh tujuh hari itu, peserta hanya perlu melakukan perjalanan harian seperti biasa dan pada penghujung hari mereka hanya perlu berkongsi maklumat lanjut mengenai perjalanan mereka pada hari tersebut dengan menjawab beberapa soalan mudah.

“Peserta yang bertuah akan memenangi hadiah utama sebanyak RM1,000 dan beberapa hadiah lain juga turut ditawarkan iaitu RM100 buat 25 pemenang; RM20 buat 1,000 pemenang dan RM10 buat 250 pemenang bertuah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post Vaksin COVID-19: Harapan si pengayuh beca setahun ‘setia’ menanti pelancong
Next post Ops Duri 2.0: Peniaga ‘raja buah’ dipantau
Ubah saiz-+=