Sorting by

×

Aplikasi Melaka Agro Food atasi ketirisan 

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat
SERI NEGERI 30 November – Aplikasi Melaka Agro Food kini dalam peringkat pembangunan bakal membantu meluaskan lagi pasaran produk keluaran petani tempatan tanpa pembabitan daripada orang tengah.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, penggunaan medium itu juga membolehkan pengguna menikmati produk segar yang dipasarkan terus dari ladang.
Dr Muhamad Akmal berkata, inisiatif itu juga mampu membantu meningkatkan pendapatan petani, manakala pengguna pula dapat membeli produk segar pada harga lebih murah dan berpatutan.
“Konsep Melaka Agro Food hampir sama seperti aplikasi digunakan p-hailing, cuma ia lebih kepada penawaran produk pertanian keluaran petani tempatan yang dijual secara terus kepada ‘end user’.
“Platform ini kita buka kepada semua jenis produk pertanian, tidak kira diusahakan pada skala kecil, hidroponik dan sebagainya. Bagi penghantaran pula kita bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan penghantaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurutnya, aplikasi itu dijangka dapat digunakan dalam tempoh setahun akan datang.
“Insya-Allah kita sudah memohon peruntukan bagi pembangunan aplikasi ini daripada Kementerian Kewangan, diharapkan bajet RM2.5 juta akan diluluskan demi kepentingan petani di negeri ini.
“Saya melihat aktiviti orang tengah mengambil untung berlebihan punca kepada permasalahan harga barangan, jadi kita mahu banteras mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

990
Kongsi :
Previous post Sidang DUN Melaka semakin berkualiti – KM
Next post Adun dipelawa cadang tapak RMM
Ubah saiz-+=