Sorting by

×

Aplikasi Jom Melaka Cari Makan tawar diskaun sehingga 50 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 21 April – Lebih 200 buah restoran dan kafe berdaftar di Melaka bakal menawarkan diskaun sehingga 50 peratus kepada pengguna memanfaatkan aplikasi Jom Melaka Cari Makan bermula 1 Mei sehingga 2 Jun 2024.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, aplikasi tersebut telah dibangunkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) bersama Megatrend Solutions Sdn Bhd dan Advertalk Sdn Bhd.

“Aplikasi ini turut menawarkan Anugerah Best Melaka Food Award dan Best Melaka Popular Award yang akan dipertandingkan dalam kalangan pengusaha restoran dan kafe ada dalam aplikasi ini.

“Saya yakin, inisiatif ini secara tidak langsung memperluas usaha mempromosi restoran dan kafe di Melaka di bawah sub-sektor pelancongan makan-makan, sekali gus meningkatkan pendapatan para peniaga tempatan serta menggamit lebih ramai pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Beli Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan dan Cabutan Bertuah Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Kiosk Cenderamata, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem;Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata bagi tempoh Januari hingga Mac, kempen TMM2024 berjaya menggamit 3.3 juta pelancong.

“Pada tahun 2023, negeri Melaka telah menerima kehadiran pelancong seramai 8.6 juta orang dimana 7.4 juta terdiri daripada pelancong domestik dan 1.2 juta pelancong asing.

“Jumlah ini, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 42.77 peratus berbanding rekod pada tahun 2022. Saya percaya, dengan segala inisiatif sedang kerajaan negeri laksanakan termasuk memperkasa sektor pelancongan menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negeri Melaka, insya-Allah sasaran 18.7 juta pelancong pada tahun ini mampu kita capai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post TMM2024: Pakej ‘Melaka Nightlife’ bermula Jun
Next post TMM2024: Pelancong Johor, Kuala Lumpur menang cabutan bertuah
Ubah saiz-+=