Aplikasi e-Aduan percepat selesai isu kerosakan Bangunan Gunasama Persekutuan
AYER KEROH 22 Dis- Kakitangan kerajaan di lapan Bangunan Gunasama Menara Persekutuan dan Wisma Persekutuan boleh melaporkan sebarang isu melibatkan kerosakan bangunan menerusi aplikasi e-Aduan bermula hari ini.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Khairul Azhar (Nik) Abu Bakar berkata inisiatif melaporkan aduan menerusi e-Aduan itu dapat dimanfaatkan kepada semua jabatan kerajaan yang menghuni Bangunan Gunasama Persekutuan di Zon Selatan.
Katanya, aplikasi yang boleh dimuat turun dari Playstore dan Appstore itu memberi kemudahan serta memberi maklumat status pembaikan dengan lebih cepat dan aduan dapat diurus dengan lebih baik.
“e-Aduan merupakan satu model maklumbalas pelanggan yang dibangunkan oleh syarikat Ambang Wira Sdn Bhd bagi membolehkan pelanggan atau pengguna menyalurkan aduan menerusi telefon bimbit pintar.
“Menerusi aplikasi ini, pengguna boleh membuat aduan kerosakan bangunan untuk diambil tindakan segera oleh syarikat tersebut dan pengadu atau pengguna akan menerima status aduan dari masa ke semasa sehingga pembaikan yang diadukan selesai,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian selepas melancarkan Aplikasi Mobil e-Aduan oleh Ambang Wira Sdn Bhd di Lobi Wisma Persekutan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ambang Wira Sdn Bhd, Nik Adnan Nik Mohd Salleh berkata aplikasi e-Aduan itu akan digunakan oleh semua penghuni di setiap 20 bangunan gunasama Zon Selatan dan Zon Sarawak.
“Menerusi aplikasi ini, pengguna boleh melihat cara pengurusan serta jadual penyelenggaraan fasiliti dilaksanakan termasuk input, data, aset atau rekod bangunan gunasama.
“Aduan penghuni akan dipantau dengan lebih berkesan secara digital serta akan memberi maklum balas efisien kepada pengadu serta aduan akan dipantau secara telus dan pengguna boleh melihat sejarah aduan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.