Sorting by

×

Aplikasi arah kiblat tidak tepat

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 22 Okt. – Aplikasi penunjuk arah kiblat yang dimuat turun secara percuma di telefon bimbit banyak membantu dan memudahkan umat Islam untuk menunaikan solat.

Namun, ketepatan yang dipaparkan di skrin menimbulkan keraguan dan lebih membimbangkan rata-rata umat Islam lebih mempercayai arah Kaabah ditunjukkan aplikasi terbabit.

Jelas Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Melaka, Mohd Idzwan Suludin, berdasarkan pemerhatian pihaknya sehingga kini, masih tiada aplikasi yang benar-benar tepat menentukan arah kiblat.

Malah katanya, sebahagian dari aplikasi yang dimuat turun didapati menunjukkan arah yang jauh tersasar sehingga 1220 kilometer (KM) ke kiri atau kanan Kaabah.

“Satu darjah ketidaktepatan (ke arah Kaabah) bersamaan 122 KM dan ada sebahagian aplikasi yang kesan, tersasar sehingga 10 darjah iaitu bersamaan 1220 KM.

PEMBANTU Hal Ehwal Islam Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Melaka, Mohd Idzwan Suludin

“Sebab itu kami tidak menggalakkan penggunaan aplikasi yang dimuat turun di telefon pintar.  Kerana ia meragukan antaranya siapa individu yang membangunkan aplikasi tersebut dan kadar ketepatannya yang tidak dijamin.

“Dan setiap telefon pintar turut menunjukkan arah berbeza walaupun menggunakan aplikasi sama.

“Kalau dari segi hukum, jika kita tahu arah kiblat itu berbeza, maka dari segi sah solat ia tidak diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan penandaan arah kiblat di Melaka Hari Ini, semalam.

Menurut Mohd Idzwan, dalam menentukan arah kiblat yang tepat, pihaknya menggunakan alat ‘total station’ bagi menjamin ketepatan arah mengadap Kaabah.

MOHD Idzwan menunjukkan langkah menentukan arah kiblat yang tepat menggunakan data kedudukan matahari menerusi alat ‘total station’.

“Menerusi alat itu, kami memasukkan data matahari dan kedudukannya ke dalam alat itu sebelum disusuli dengan proses penandaan arah kiblat,” katanya.

Katanya, selain mendapatkan khidmat pakar pihaknya dalam menentukan arah kiblat, umat Islam juga boleh menggunakan kompas menggantikan aplikasi dalam talian untuk menentukan arah kiblat.

“Berbanding aplikasi, kompas yang berharga antara RM15 hingga RM20 sudah memadai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Mufti Melaka tempoh hari menawarkan khidmat menentukan arah kiblat terhadap premis kediaman di negeri ini dengan bayaran RM100.

Dan RM200, bagi pusat membeli-belah, hotel, pam minyak dan kilang. Manakala, bagi tanah kubur, surau, masjid, bangunan kerajaan adalah percuma.

Hadir sama, Pegawai Sains Bahagian Falak Syarie Jabatan Mufti Melaka Nor Nazmi Razali dan Penolong Pegawainya Mohd Fadzli Mohd Razi.

Views:

3246
Kongsi :
Previous post Kertas kerja tangani hakisan Pantai Puteri sudah dihantar kepada PM
Next post Melaka tangguhkan perarakan Maulidur Rasul
Ubah saiz-+=