Sorting by

×

Apek tagih kelibat pemain ke-12

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SAINGAN Liga Super 2021 yang dijadual bermula pada Mac depan diharap dapat diserikan semula dengan kehadiran penyokong setiap pasukan.

Bagi penjaga gol Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) Khairul Fahmi Che Mat, dia berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama pentadbir liga dapat berbincang untuk membenarkan kelibat ‘pemain ke-12’ menyerikan stadium selepas setahun beraksi sunyi tanpa penonton.

Katanya, dengan adanya sokongan padu penyokong di stadium, sedikit sebanyak ia akan memeriahkan saingan Liga Malaysia dan pada masa sama menaikkan semangat pemain di padang.

“Harapan besar saya agar pihak FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dapat berbincang dengan kerajaan untuk membenarkan kehadiran penyokong di stadium dalam norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

“Saya yakin kehadiran penyokong dapat memberikan motivasi lebih tinggi untuk pemain beraksi bersungguh-sungguh bagi membantu pasukan masing-masing,” katanya menerusi rakaman klip video yang dimuat naik MUFC di laman Youtube.

Mengenai penangguhan aksi Liga Super pada Mac depan, pemain yang mesra dengan panggilan Apek itu mengakui ada baik buruknya untuk pasukan.

“Positifnya, ia dapat memberi lebih masa kepada setiap pasukan untuk menjalani latihan selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 nanti.

“Namun, dari sudut keburukan pula perlawanan mungkin akan jadi lebih padat dengan aksi liga dan juga piala sepanjang musim ini,” katanya.

WAN Amirul Afiq

Sementara itu, tonggak pertahanan MUFC, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman pula berpendapat penangguhan saingan liga adalah sesuatu yang wajar untuk keselamatan semua yang terlibat.

Namun, pada masa sama pemain berusia 28 tahun itu berharap sesi latihan berpasukan diberi kebenaran sepanjang PKP 2.0 seleps ia dilanjutkan lagi sehingga 18 Februari.

“Saya berharap sangat Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan latihan bola sepak berjalan seperti biasa walaupun terpaksa mengikut SOP yang lebih ketat.

“Dengan cara ini, semua pasukan dapat melakukan persiapan sebagai persediaan menghadapi saingan liga pada Mac depan,” ujarnya.

Views:

539
Kongsi :
Previous post Bapa tiri kanak-kanak dera pernah didakwa cederakan isteri
Next post Polis tahan lapan individu, rampas mercun bernilai lebih setengah juta ringgit
Ubah saiz-+=