Apek puas hati pungut satu mata
WALAUPUN gagal mempertahankan ‘clean sheet’ dalam tiga aksi berturut-turut, namun penjaga gol Melaka United Khairul Fahmi Che Mat tetap berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 yang dicatat pasukannya tatkala bertandang ke Stadium UiTM Shah Alam bertemu Selangor sebentar tadi.
Pemain yang mesra dengan panggilan Apek itu menyifatkan satu mata yang dibawa pulang sebagai sesuatu yang cukup berharga untuk pasukan, apatah lagi dalam aksi menentang sebuah pasukan berstatus legenda seperti Selangor.
“Bagi saya ini satu mata yang berharga. Kita datang ke Selangor dan menyedari mereka merupakan satu pasukan yang solid daripada pertahanan hinggalah ke pemain bangku simpanan untuk tahun ini.
“Kita berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu, namun mungkin disebabkan hilang fokus membuatkan mereka berjaya menyamakan kedudukan. Namun, secara keseluruhan, satu mata ini sudah cukup bagus,” katanya.
Mengulas mengenai rahsia Melaka United berjaya menampilkan aksi memberangsangkan selepas saingan Liga Super bersambung kembali awal bulan ini, Apek berkata, semuanya hasil kerja keras yang ditampilkan rakan sepasukan serta staf kejurulatihan sepanjang sesi latihan.
“Semua tahu, Melaka dipotong tiga mata, sebab itulah kami sangat bekerja keras untuk membantu pasukan berada di kedudukan selesa dalam liga. Jadi, setiap hari kami bekerja keras untuk berada di tahap sekarang.
“Untuk kata saya sudah kembali ke prestasi terbaik sebagai penjaga gol, bagi saya semua itu tidak akan tercapai tanpa bantuan pemain pertahanan di hadapan saya. Kesemua pemain banyak membantu dan kami sentiasa bekerjasama sebagai satu pasukan,” ujarnya.