Apam balik motosikal klasik
KESIDANG 6 Februari – Mungkin apabila disebut apam balik, ia kedengaran biasa kerana makanan itu mudah diperoleh kerana ramai yang menjualnya.
Apam balik atau turut dikenali sebagai ‘Asian pancake’ secara luaran kelihatan serupa secara luaran begitu juga intinya yang terdiri daripada kacang, gula dan jagung manis.
Namun apa yang membezakannya adalaH kelembutan tekstur dan kini, intinya juga turut divariasikan dengan pelbagai rasa seperti keju, nestum dan coklat bagi menarik pembeli.
Namun bagi warga emas Mohd Noor Mohd Ali, 71, motosikal klasik lama digunakannya untuk menjual apam balik menjadi tarikan untuk pembeli singgah membeli juadah dijualnya.
Motosikal model Honda CG125 itu bewarna merah itu nyata kelihatan klasik dan mencuri tumpuan.
Menurut Mohd Noor, dia sudah menjual apam balik sejak 20 tahun lalu namun sebelum ini, dia menjadikan ruangan luar di pasar berdekatan sebagai lokasi berniaga sebelum berpindah ke tempat baharu dan menggunakan motosikal.
“Sebelum menjual apam balik ini, saya berniaga barangan aksesori di pasar malam. Ini semua atas tunjuk ajar seorang rakan.
“Resepi semua saya pelajari daripadanya kerana suatu waktu dulu, apam balik dijualnya di Semabok, ramai orang kenal,” katanya yang berasal dari Minang, Indonesia.
Bapa kepada lapan anak itu berkata, setiap hari dia akan menyediakan bancuhan adunan antara lima hingga enam kilogram sehari namun jumlah itu akan bertambah pada hujung minggu.
“Meskipun ramai yang menjual dengan pelbagai rasa namun saya percaya orang ramai masih suka yang klasik.
“Selain apam balik biasa, saya menjual apam balik coklat dan ‘special’ selain turut dijual cendol kacang pulut,” katanya yang berniaga bermula 10 pagi hingga 9 malam, setiap hari berhampiran Plaza Pandan Malim.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.