Apa nasib ‘pak belang’

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

SEKITAR 150 ekor sahaja Harimau Malaya yang hidup liar di belantara di Semenanjung Malaysia, mengikut rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Angka itu amat merunsingkan kerana Harimau Malaya menjadi raja di belantara negara ini berada diambang kepupusan.

Kerakusan pemburu haram termasuk dari negara jiran, habitat yang terganggu dek pembangunan antara penyumbang kepada kemerosotan jumlah ‘pak belang’ di negara ini.

Lebih merisaukan apabila berdasarkan kajian dijalankan Perhilitan, penurunan itu berlaku mendadak daripada 3,000 ekor kepada 2,000 ekor, 1,000 ekor, sekitar 250 hingga 340 dan terus menyusut kepada tiga angka sahaja.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, menerusi kajian menggunakan ‘camera trap’ (perangkap kamera) dari 2016 hingga 2020 di kawasan seluas 44,000 kilometer persegi mendapati daripada jutaan gambar direkodkan hanya 150 ekor pak belang berjaya dirakam.

Jelasnya, menerusi Kajian Pertama Harimau Malaya (NTS) lebih 2,000 camera trap dipasang di habitat utama Harimau Malaya seperti Hutan Belum-Temenggor, Perak dan Taman Negara Endau Rompin, Pahang.

Abdul Kadir berkata, hasil kajian amat merisaukan kerana jumlah pak belang yang juga khazanah negara semakin kurang.

“Pemburuan haiwan lain termasuk rusa sambar yang menjadi antara sumber makanan utama Harimau Malaya turut menyumbang kepada kemerosotan populasi pak belang.

“Selain rusa sambar, babi hutan, rusa dan kijang juga sumber makanan Harimau Malaya. Tetapi jumlah haiwan itu di belantara kita masih terkawal.

“Pada kebiasaan Harimau Malaya memburu untuk mendapatkan makanan, kitaran itu adalah antara tujuh ke 10 hari,” katanya.

Berikutan itu Perhilitan dengan kerjasama zoo dan pengkaji daripada universiti tempatan berusaha keras mencari jalan untuk mengelakkan Harimau Malaya kebanggaan negara daripada pupus.

Antara usaha dijalankan adalah dengan mengaplikasikan Teknologi Pembiakan Terbantu (ART) dengan kerjasama rakan strategik daripada Pertubuhan Taman Zoologi Thailand (ZPOT) bagi membantu melestarikan peningkatan populasi haiwan terbabit.

Kongsi beliau, teknik itu digunakan bagi membantu harimau betina bunting dalam masa lebih singkat.

“Anak harimau akan dijaga kakitangan di Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang, Pahang. Haiwan berkenaan akan dilatih agar kekal dengan sifatnya yang liar, jadi tidak akan ada hubungan dengan manusia.

“Apabila tiba masa yang sesuai, harimau berkenaan akan dilepaskan semula ke habitat asal di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah dan Perak.

“Menerusi penekanan teknologi ini Perhilitan berharap populasi Harimau Malaya akan meningkat di negara dengan menyasarkan kira-kira 400 ekor harimau mampu dibiakkan dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1641
Kongsi :
Previous post Ibu tunggal dan rakan didakwa aniaya, abai anak berusia tujuh tahun
Next post Peminat setia 40 tahun, kumpul 40 karya
Ubah saiz-+=