Anwar bukti keabsahannya sebagai PM10 di Parlimen
Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan tersebut selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, selesai membahaskannya.
Terdahulu usul itu dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong oleh seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi dan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung usul itu berkata walaupun Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri tidak wajib dillakukan, namun kerajaan sendiri telah memohon usul tersebut untuk dikemukakan pada persidangan kali ini.
Beliau berkata ia bagi membuktikan Ahli Parlimen Tambun itu mendapat keyakinan untuk menjadi Perdana Menteri ke-10, setelah mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov.
Azalina berkata sebelum ini kerajaan memerintah pernah dua kali membawa Usul Undi Percaya iaitu pada 1976 ketika Allahyarham Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ketiga dan pada 2003 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kelima.
“Saya ingin tekankan apa yang berlaku pada hari ini ialah permohonan (usul undi percaya) oleh kerajaan sendiri yang mana peraturan mesyuarat Parlimen membenarkan ia dilakukan.
“Saya mengambil contoh di New Zealand semasa Perdana Menteri Jacinda Ardern mewujudkan kerajaan gabungan, beliau telah wujudkan satu usul undi percaya untuk memberikan keyakinan dalam Parlimen,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.