Anugerah HAWANA 2022 iktiraf sumbangan profesion kewartawanan
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Penyampaian Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 adalah antara acara utama HAWANA 2022 itu yang akan berlangsung di Melaka pada 29 Mei ini, kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Roslan Ariffin.
Beliau berkata pemberian anugerah itu adalah bagi mengiktiraf dan sebagai penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang telah memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya dihasilkan.
“Tokoh HAWANA 2022 akan menerima trofi, wang tunai dan sijil penghargaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini bagi membicarakan topik ‘Hari Wartawan Nasional 2022’ terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata perhimpunan terbesar golongan wartawan dan pengamal media tanah air bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ itu juga bakal menyaksikan Deklarasi Melaka diumumkan pada majlis kemuncak sambutan berkenaan.
Perkara-perkara dalam deklarasi itu merujuk kepada pandangan dan hasrat wartawan serta aspirasi mereka terhadap Malaysia yang lebih makmur dan lebih bersatu, katanya.
Beliau berkata sebanyak 500 tetamu turut dijemput bagi menghadiri sambutan itu termasuk pemimpin utama media dari Indonesia, ISWAMI Indonesia dan Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia.
“Duta-duta, pemimpin luar dan editor-editor luar juga akan dijemput selain rakan-rakan media dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
HAWANA dianjurkan bagi mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia, selain platform kepada pengamal media untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia.
Katanya, pemilihan Melaka sebagai lokasi sambutan itu pula disebabkan beberapa faktor antaranya kedudukan berhampiran ibu negara, sokongan kerajaan negeri Melaka untuk HAWANA 2022 dibuat di negeri itu selain hasrat untuk berkongsi kegembiraan sambutan berkenaan dengan negeri-negeri lain.
“Selepas ini kita akan terus berunding dengan mana-mana kerajaan negeri bagi membolehkan HAWANA dibuat di negeri-negeri lain,” katanya.
Mengikut jadual, HAWANA 2022 akan dirasmikan pada 2 petang di Hotel Hatten, Melaka dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengesahkan kehadiran beliau untuk merasmikan acara berkenaan.
ISWAMI dan BERNAMA akan menjadi penggerak utama penganjuran HAWANA 2022 dengan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan turut melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media lain
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.