Anugerah Graduan Terbaik hadiah istimewa ulang tahun bapa
AYER KEROH 6 Disember – “Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dalam kejayaan ini dan ini juga merupakan hadiah hari jadi ayah saya,” kata Aisyah Jannah Jamaludin, 24 selepas ditemui pemberita pada Istiadat Konvokesyen Universiti Melaka (UNIMEL) ke-24, hari ini.
Aisyah Jannah yang dinobatkan Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma Tahun 2021 meluahkan rasa syukurnya setelah dapat membuktikan kejayaan itu kepada keluarganya lebih-lebih lagi hari bersejarah itu juga adalah tarikh ulang tahun bapanya.
Anak kepada pengawal keselamatan yang menetap di Duyong itu berkata kedua ibu bapanya menjadi kekuatan dan sering menjadi motivasi kepadanya untuk melakar kejayaan dengan lebih cemerlang pada masa akan datang.
“Semasa pengajian di rumah ketika pandemik COVID-19 memang besar cabarannya sebab tiada rakan mahupun ahli keluarga yang menuntut dalam latar belakang pengajian yang saya pelajari tapi emak ayah lah yang jadi penguat saya untuk elak dari jadi malas.
“Saya akan letakkan gambar mak dan ayah sebagai gambar latar telefon (wallpaper) sebagai motivasi saya dan apabila tengok gambar mereka, semua perkara jadi mustahil untuk malas dan tidak mahu belajar dan bersedih.
“Hari ini hari jadi ayah dan ini hadiah untuknya, puas sudah mereka (keluarga) sebak dan bersyukur dengan kejayaan ini,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Aisyah yang dinobatkan menerima anugerah itu menerima replika cek bernilai RM1,000 berserta piala dan sijil disampaikan Canselor UNIMEL, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam pada sesi persidangan pertama diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Aisyah merupakan bekas pelajar Diploma Pengajian Islam dan Pembangunan Sumber Manusia menerima keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91 dan kini sedang melanjutkan pelajarannya menerusi pengajian atas talian dalam bidang Kitab Turath di sebuah akademi pengajian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.