Anugerah Fatimah Az-Zahra, kategori baharu diperkenalkan
BUKIT PALAH 19 Julai – Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H Melaka memperkenalkan satu kategori baharu dinamakan Anugerah Fatimah Az-Zahra bagi memberi pengiktirafan kepada golongan ibu yang menyumbang jasa.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, anugerah itu baharu pertama kali diperkenalkan pada tahun ini khas untuk kaum ibu yang banyak menyumbang jasa dan pengorbanan.
Katanya, selain kategori tokoh baharu itu, terdapat juga 13 kategori lain termasuk Tokoh Belia Islam (Anugerah Ali Bin Abi Talib), Tokoh Warga Istimewa (Anugerah Abdullah Bin Ummi Maktum) dan Tokoh Aktivis Muslim (Anugerah Salman Al-Farisi).
“Istimewanya kali ini kita ada anugerah ibu mithali iaitu Anugerah Fatimah Az-Zahra disampaikan kepada seorang ibu yang membesarkan 17 anak iaitu Rodiyah Tokimon berusia 79 tahun,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Perhimpunan Dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Melaka 2023 di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.
Terdahulu, penyampaian semua anugerah berkenaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Menurut Rahmad, kriteria pemilihan dibuat menerusi senarai nama yang diserahkan oleh Japerun menerusi kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap individu yang banyak menyumbang jasa dan berkhidmat untuk masyarakat.
“Selain itu, nama-nama calon tokoh juga diperoleh daripada individu dan juga melalui pencalonan jabatan kerajaan yang mencalonkan mereka yang layak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.