Sorting by

×

ANUGERAH CEO OF THE YEAR GALAK PERSAINGAN SIHAT

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 13 Januari – Inisiatif meneruskan Anugerah ‘The Best CEO of The Year Awards’ menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan Ketua Pegawai Eksekutif jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Anugerah yang diperkenalkan tahun lalu oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu akan diteruskan bagi memantau prestasi dan menggilap potensi anak-anak syarikat dan agensi Kerajaan Negeri Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Saleh Jusman berkata, anugerah itu juga dianggap sebagai sebuah ‘pertandingan’ untuk memulih atau memajukan syarikat yang membawa kebaikan kepada negeri ini.

“Saya yakin bahawa antara Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar dalam negeri ini kami sering berkomunikasi dan menjalinkan kerjasama untuk menjadikan organisasi lebih baik dan berdaya maju.

“Ini adalah saranan dan amalan yang sangat baik, kita amat menyokong inisiatif ini diteruskan bagi tahun-tahun akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MITC, Datuk Mohd Ariff Shah Abdullah Sani berkata, untuk anugerah berkenaan ia memerlukan kerjasama utuh di antara kakitangan setiap jabatan dan agensi itu sendiri.

“Anugerah ini bukan untuk ketua seorang, tetapi semua anak syarikat Kerajaan Negeri, jadi Ketua Menteri mewujudkan satu persaingan yang sihat untuk semua Ketua Pegawai Eksekutif yang ada di negeri ini.

“Sudah tentu kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing, jadi KPI ini melambangkan hala tuju yang perlu kita capai.

“Sebagai ketua pegawai eksekutif kita tidak boleh bekerja seorang tetapi secara berpasukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

181
Kongsi :
Previous post MAHASISWA UTEM SANTUNI ASNAF, GELANDANGAN KOTA RAYA
Next post SK BEMBAN ‘A’, SK MALIM JUARA LIGA HOKI MELAKA
Ubah saiz-+=