ANTARA BANJIR TERBURUK SEJAK 3 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

PAYA RUMPUT 23 November – Banjir yang melanda beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Pantai Kundor dan Klebang disifatkan antara yang terburuk dalam tempoh tiga tahun.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, ia berikutan lebih 200 mangsa terpaksa dipindahkan ke tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka secara berperingkat sejak jam 7 petang semalam.

Menurut beliau, antara kawasan yang terjejas teruk adalah di DUN Paya Rumput iaitu membabitkan beberapa kawasan di Taman Rambai Utama, Taman Rambai Jaya dan Tanjung Minyak dengan seramai 164 mangsa daripada 42 keluarga telah dipindahkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2.

“Selain itu, DUN Pantai Kundor dan Klebang juga turut terjejas dengan 30 daripadanya ditempatkan di PPS Dewan Japerun Pantai Kundor dan 20 lagi di PPS SK Taman Bukit Rambai.

“Boleh dikatakan sepanjang tiga tahun bergelar wakil rakyat, ini merupakan antara banjir terburuk pernah berlaku di kawasan ini.

“Saya bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melawat ke lokasi terjejas untuk mengenal pasti permasalahan, selain mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah banjir yang berlaku,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas mengadakan lawatan ke beberapa kawasan terjejas, malam tadi.

Dalam pada itu, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan yang membantu mangsa-mangsa banjir.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar sentiasa berjaga-jaga dalam keadaan cuaca tidak menentu yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

99
Kongsi :
Previous post BANJIR MELAKA: 3 PPS DIBUKA, 54 MANGSA DIPINDAHKAN
Next post MANGSA BANJIR MELAKA MENINGKAT KEPADA 264 ORANG
Ubah saiz-+=