Sorting by

×

Annuar terima pemecatan sebagai SU Agung BN

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PUTRAJAYA, 6 Jan – Tan Sri Annuar Musa berkata beliau menerima pemecatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Setiausaha Agung Bersama Muafakat Nasional (MN) yang berkuat kuasa semalam.

Meskipun begitu katanya beliau akan terus berjuang atas wadah perjuangan UMNO bagi menyumbang ke arah parti yang bermaruah, berintegriti dan kekal memimpin penyatuan ummah dan menunjangi permuafakatan nasional.

“Dengan tidak lagi menjadi Setiausaha Agung BN, saya lebih bebas bertindak dan membuat pendirian politik mengikut hati nurani dan conscience saya sendiri bersama rakan-rakan yang sealiran,” katanya pada sidang media khas mengenai pemecatan beliau di sini hari ini.

Pada masa sama, Annuar berkata peraturan BN menetapkan keputusan melantik dan memecat tidak boleh dibuat oleh presiden UMNO, sebaliknya mesti dilakukan oleh pengerusi BN pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

“Ia (pemecatan) tidak boleh dibuat oleh presiden UMNO dalam pertemuan dengan ketua-ketua bahagian UMNO… mesti berunding dengan parti-parti yang lain dalam BN, satu parti satu undi dan tiga parti lain juga berhak untuk mencadangkan siapa yang ganti setiausaha agung,” katanya.

“Kalau boleh, saya cadangkan pecat saya sekali lagilah bila mesyuarat BN diadakan,” katanya.

Jawatan itu kini disandang oleh Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata kebelakangan ini beberapa perkara, peristiwa dan dasar telah menuntut beliau untuk bertindak mempertahankan prinsip dan pendirian politiknya secara tegas dan berterus-terang.

“Antaranya ialah terdapat sokongan hitam putih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional yang dianggotai BN dan percubaan dan perundingan melibatkan DAP dalam apa yang diistilahkan ‘Pembentukan Jajaran Baharu Politik’,” katanya.

Perkara itu katanya bercanggah dengan keputusan UMNO iaitu “No DAP, No Anwar” (tidak kepada DAP, tidak kepada Anwar).

Selain itu, beliau berkata ada percubaan menggugat kestabilan kerajaan Perikatan Nasional berkali-kali yang menyebabkan terjejasnya hubungan baik antara UMNO, PAS dan Bersatu.
– BERNAMA

Views:

548
Kongsi :
Previous post Dua jalan utama di Jeli ditutup – Polis
Next post Banjir Kelantan: Jumlah mangsa bertambah mendadak
Ubah saiz-+=