Annuar Musa Ucap Selamat Hari Pers Nasional 2022
JAKARTA, 9 Feb – Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengucapkan selamat Hari Pers Nasional (HPN) 2022, atau hari media kepada wartawan Indonesia di seluruh dunia yang disambut pada Rabu.
Beliau berkata sambutan itu mengingatkan segenap lapisan warga di Indonesia, akan perit jerih perjuangan media menegakkan demokrasi dan membangunkan negara.
“Tarikh 9 Feb hari kebanggaan seluruh wartawan Republik Indonesia yang gigih menyampaikan berita dan maklumat, buat masyarakat demi kemakmuran negara.
“Syabas Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) dan saya yakin akan terus perbaharui tekad dan semangat untuk terus mengelola kebebasan media dengan sebaiknya secara adil, profesional dan bertanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan.
Annuar menyertai sambutan meriah kemuncak HPN di Kendari, Sulawesi Tenggara secara maya, yang turut disertai Presiden Indonesia Joko Widodo.
Beliau merupakan satu-satunya pemimpin negara luar yang diundang, diiring Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq dan Timbalan Ketua Setiausaha Komunikasi Strategi dan Industri Kreatif Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) Mastura Ahmad Mustafa.
Lain-lain termasuk Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI Malaysia) Datuk Mokhtar Hussain, Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) Bernama Roslan Ariffin dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhami Abdul Malek.
Adlan Mohd Shaffieq mewakili warga kedutaan dalam ucapan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh wartawan atas sambutan HPN dan usaha gigih melaporkan situasi semasa.
Beliau berkata wartawan akan terus menjadi jambatan perhubungan di antara rakyat dan kerajaan, agar terus berjalan dengan lancar.
Sementara itu Ras Adiba berharap wartawan-wartawan di Indonesia terus bersemangat untuk menyampaikan informasi yang bernas.
“Bersama-sama kita membangun dengan arus teknologi yang sedang berlaku di seluruh dunia,” katanya.
HPN merupakan perayaan kedua terbesar di Indonesia selepas Hari Raya Aidilfitri, dan secara tradisinya diadakan secara bergilir setiap tahun di kota-kota berlainan di Indonesia.
Sambutan itu dihadiri duta-duta besar, tokoh-tokoh korporat, wartawan-wartawan tempatan dan beberapa wakil ISWAMI Malaysia diketuai Penasihat Datuk Zakaria Abdul Wahab, dengan penerapan prosedur operasi standard yang ketat.
Terdapat 40 aktiviti dianjurkan tahun ini termasuk konvensyen media massa pada 7 dan 8 Feb serta seminar pelancongan, tenaga dan perlombongan, kewangan dan fiskal dan bengkel kewartawanan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.