Anjur kursus untuk pengasuh tidak berdaftar
BUKIT BARU 29 Julai – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menganjurkan kursus yang dikhususkan untuk pengasuh bayi dan kanak-kanak tidak berdaftar di negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, menerusi kursus itu, pengasuh akan diberikan pendedahan mengenai teknik pengendalian bayi dan kanak-kanak seperti cara penyusuan yang betul.
“Kita faham, ada yang mencari rezeki dengan cara ini dan untuk makluman kita tidak akan tutup pintu rezeki mereka. Oleh itu kita anjurkan kursus dan melihat secara menyeluruh (hal berkaitan jagaan bayi) bagi memastikan mereka ini mendapat pengetahuan serta tahu cara yang betul.
“Mungkin ada yang sebelum ini membiarkan bayi menyusu sendirian tetapi dengan adanya kursus ini mereka akan faham kaedah yang betul,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu ditemui pada Majlis Penutup Kempen Premis Makanan Bersih (Medan Selera PBT) 2023, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, kaedah dan teknik pengendalian yang betul amat penting bagi menjamin keselamatan bayi serta kanak-kanak.
“Semakan akan dilakukan untuk mendapatkan butiran pengasuh ini, kemudian mereka akan diminta untuk menghadiri kursus.
“Meskipun kejadian baru-baru ini (bayi meninggal dunia tersedak susu) adalah kes pertama, kita tidak mahu ia berulang,” katanya.
Media pada Isnin melaporkan, bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas dipercayai tersedak susu ketika dalam jagaan pengasuhnya di Rumah Awam Ayer Molek, Ahad lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.