Anjung rumah jadi perpustakaan mini
BUKIT KATIL 24 April – Menjadikan anjung rumah sebagai perpustakaan mini melayakkan seorang warga emas Yahya Yusof, 73, meraih johan dalam Pertandingan Perpustakaan Keluarga 2023/2024 bagi kategori rumah kampung.
Anak jati dari Kampung Kandang ini berkata minat membaca sejak 50 yang tahun lalu tidak pernah terpadam biarpun sudah menginjak usia lebih 70 tahun.
Menurutnya, sehingga kini dia mempunyai lebih 1,000 naskhah buku daripada pelbagai kategori seperti keagamaan, wirid, kenegaraan, novel, komik dan lain-lain.
“Alhamdulillah usaha saya membuahkan hasil, ini merupakan kali keempat masuk pertandingan dan akhirnya saya berjaya dinobatkan sebagai johan.
“Di rumah saya terlalu banyak koleksi bahan bacaan sehingga ada yang terpaksa dilupuskan kerana dimakan anai-anai, ikutkan memang sayang tetapi demi menjaga kualiti buku lain saya terpaksa lakukan.
“Sebab itu saya wujudkan satu ruangan khas di anjung rumah sebagai perpustakaan mini khusus untuk ahli keluarga beriadah sambil membaca sekurang-kurangnya 10 ke 15 minit sehari,” katanya.
Terdahulu Yahya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 beserta hadiah iringan buku RM200 yang disampaikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.
Hadiah itu disampaikan pada Majlis Perasmian Perpustakaan Digital Sempena Program Baca Bersama 10 Minit Peringkat Negeri Mekaka Tahun 2024 di Dewan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) di sini, semalam.
Sementara itu, Mohammad Sufian Talib, 36, yang menetap di Pangsapuri Rakyat Tehel turut bersyukur dinobatkan johan pertandingan yang sama bagi kategori Rumah Pangsa.
“Biarpun rumah saya hanya pangsapuri dan ruangannya terhad, namun saya tiada halangan untuk saya wujudkan satu perpustakaan mini di dalam rumah.
“Disebabkan saya masih menuntut sebagai pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), jadi perpustakaan ini sangat diperlukan selain menjadi tempat untuk saya, isteri dan anak meluangkan masa membaca setiap hari.
“Kebanyakan koleksi buku yang ada ini sukar untuk didapati di Malaysia kerana saya lebih gemar kirim kepada rakan-rakan yang melancong ke luar negara untuk membeli buku.
“Alhamdulillah hasil menyertai pertandingan ini juga saya dapat mempelajari teknik bagaimana membuat sistem pinjaman buku dan sistem mencari buku di rak yang sudah tersusun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.