Anjakan paradigma persatuan sukan Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 21 Mac – Seramai 51 peserta daripada 32 persatuan sukan Negeri Melaka menyertai Program Libat Urus Bersama Badan Sukan Negeri Melaka Tahun 2023 di sebuah hotel, di sini, 19 Mac lalu.

Program julung kali dianjurkan Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) itu turut melibatkan kehadiran Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PSJ) Malaysia dan 21 pegawai serta kakitangan MSNM.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP Shanmugam berkata, objektif utama program itu adalah untuk memastikan badan sukan bergerak secara terselaras melalui penguatkuasaan Akta Pembangunan Sukan 1997.

Katanya, menerusi program itu juga, persatuan-persatuan sukan di negeri ini didedahkan dengan tadbir urus badan sukan yang cemerlang dan tata cara pengurusan sukan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan PSJ.

“Persatuan-persatuan (sukan) negeri juga akan didedahkan dengan pengurusan mesyuarat agung tahunan badan sukan, maklumat yang kena beri (MYKB) dan penghantaran laporan MYKB secara dalam talian melalui sistem eROSA.

“Dengan adanya perkongsian sebegini, saya percaya, pengurusan persatuan Negeri Melaka akan lebih tersusun, mantap dan efisien sekali gus dapat merancang dan melaksanakan program-program persatuan dengan lebih lancar.

“Saya ingin menyeru agar kita sama-sama memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing supaya tadbir urus persatuan sukan negeri dapat diperkukuhkan lagi,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Dalam pada itu, Shanmugam turut berjanji akan memastikan pengamal sukan di Melaka khususnya persatuan sukan negeri dibantu, dibimbing dan dipimpin ke arah peningkatan tahap profesionalisme dan akauntabiliti dari segi tadbir urus pengurusan persatuan masing-masing.

Jelasnya, ia penting sebagai persediaan ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Sarawak.

“Semoga semangat kesukanan akan terus mengalir dalam jiwa pengamal dan penggiat sukan Negeri Melaka agar kita beroleh kejayaan cemerlang dalam bidang sukan di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah MSNM Mohd Asri Ninggal berkata, selain Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia, sesi libat urus itu turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Katanya, penglibatan itu penting dalam memastikan pelepasan atlet dalam kalangan murid dan guru berjalan lancar untuk menyertai apa jua kejohanan yang ditetapkan.

“Saya faham, ada masanya, persatuan menerima notis singkat sesuatu penganjuran kejohanan sukan bagi tujuan penyertaan.

“Perkara ini sedikit sebanyak melambatkan proses pelepasan atlet murid dan juga pegawai-pegawai sukan yang terdiri daripada guru-guru atau penjawat awam di bawah Jabatan Pendidikan Negeri.

“Justeru, diharap selepas mendapat penjelasan daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri, pihak persatuan sukan negeri dan juga pegawai-pegawai Majlis Sukan Negeri jelas dengan garis panduan yang diberikan, dan akan memenuhi kriteria serta prosedur yang ditetapkan supaya proses pelepasan atlet berjalan lancar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5359
Kongsi :
Previous post Dua parah, Vellfire rempuh lori 15 tan
Next post Ibu tunggal menumpang di stor dapat syurga baharu
Ubah saiz-+=