ANIH Berhad saran pengguna Lebuh Raya Karak, LPT1 terus ikuti TTA
Pengurus Besar Kanan Ketua ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata jumlah kenderaan di kedua-dua lebuh raya tersebut mula meningkat dan TTA yang dikeluarkan adalah bertujuan untuk memastikan keselesaan dan kelancaran perjalanan.
Sejak 29 April hinggga petang semalam, jumlah kenderaan di lebuh raya KLK adalah sebanyak 1.15 juta manakala LPT1 merekodkan sebanyak 570,393 kenderaan, namun keadaan di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di kedua-dua lebuh raya adalah terkawal.
“Kepatuhan pengguna terhadap TTA yang dikeluarkan meningkat kepada hampir 74 peratus berbanding hanya 55 peratus sejak ia mula diumumkan minggu lepas. Ini melancarkan operasi pengurusan lebuh raya terutamanya dalam memastikan keselesaan pengguna di R&R dan hentian sebelah,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Berdasarkan TTA yang dikeluarkan bagi perjalanan esok dan Ahad, mereka dari Pahang dicadang masuk ke lebuh raya pada 6 pagi hingga 10 pagi dan 7 malam hingga 10 malam, Terengganu (8 pagi hingga 11 pagi atau 8 malam hingga 10 malam) dan Kelantan (6 petang hingga 8 malam atau 10 malam hingga 12 tengah malam).
Radziah juga mengingatkan pengguna agar menyentuh kad Touch n’Go pada alat pengesan di lorong tol bagi tujuan pengesahan keluar masuk lebuh raya walaupun tiada bayaran dikenakan pada waktu tertentu seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Pengguna lebuh raya juga boleh merujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia atau ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik atau Facebook@Lembaga Lebuhraya Malaysia serta @Lebuhraya Pantai Timur atau menghubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 1-700-818-700 untuk maklumat lanjut.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.