Sorting by

×

Angkat sumpah PM: Penyokong parti dinasihat patuhi undang-undang, tidak cetus provokasi

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Orang ramai khususnya penyokong parti politik dinasihati agar mematuhi undang-undang dan tidak mencetuskan sebarang provokasi susulan majlis angkat sumpah Perdana Menteri ke-10 petang ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata ia supaya proses demokrasi negara dan lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri berjalan lancar.

“Orang ramai juga dinasihati supaya tidak memuat naik sebarang hantaran ke media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran atau salah faham dalam kalangan masyarakat umum serta tidak membuat sebarang spekulasi atau tindakan yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Polis Brickfields terhadap mana-mana individu yang melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan isu termasuk perkauman dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Ia selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara hari ini bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri akan berlangsung pada 5 petang ini di lstana Negara.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1415
Kongsi :
Previous post Melaka hormati titah Agong
Next post Melaka kekal dengan Kerajaan Negeri sedia ada – KM
Ubah saiz-+=